Tidak semua mengandung kerana terlanjur, ada yang jadi mangsa kerakusan nafsu.

Setiap kali baca berita tentang remaja yang mengandung anak luar nikah, hati aku selalu terusik. Sama ada terlanjur atau tanpa rela, aku faham perasaan seorang perempuan yang melalui pengalaman ini. 

Walaupun kini aku dapat mengecap bahagia, tapi zaman remaja aku pernah gelap kerana nafsu lelaki yang tak kenal hubungan darah. Trauma yang aku alami bukan hanya pada fizikal, tetapi yang lebih parah adalah mental dan juga emosiku.

Aku dibesarkan oleh nenek kerana ayah tidak mampu untuk membesarkan aku sendirian selepas kematian ibu. Aku dan kakak hanya menurut bila ayah terpaksa bekerja di selatan tanah air dan belum mampu untuk membawa kami bersama. 

Bila kakak habis SPM dan mula bekerja, cuma aku yang tinggal dengan nenek untuk terus bersekolah. Waktu itu Ayah Su baru ditugaskan kembali ke kampung dari Sabah. Kerana tidak dapat tinggal di kuarters, dia tinggal dengan nenek dan aku. Mula-mula semua ok sehinggalah satu hari nenek jatuh sakit dan terpaksa dimasukkan ke hospital. Masa tu lah Ayah Su tunjuk belang dia.

Pedih untuk ingat balik apa yang Ayah Su buat kat aku. Kalau aku nak bagi semua details apa yang dia buat aku tak sanggup. Cukuplah kalau aku cakap dia padam semua impian masa depan dan kebahagiaan aku, gadis berusia 16 tahun yang selayaknya digelar anak. Tapi Ayah Su bertindak diluar norma hubungan bapa dan anak saudara. Perkara itu jadi berulang kali dan bila aku beritahu pada kakak dan ayah, mereka seperti tidak percaya Ayah Su akan berkelakuan sedemikian. Sedihnya aku masa tu. Takde sapa nak percaya. Aku tak berani untuk bercerita pada guru atau kawan disekolah kerana malu. Aku cuma berharap masa akan cepat berlalu supaya aku boleh keluar dari neraka ini.

Sesuatu yang aku tak minta akhirnya datang. Aku rasa perubahan pada diri aku. Pening dan sering demam. Fizikal aku juga berubah. Aku nekad untuk buka cerita dengan guru kaunseling disekolah. Satu yang aku syukur sangat, cikgu Midah sangat memahami. Aku buat check kat klinik pun dengan cikgu. Sah aku mengandung. Masa tu aku macam orang hilang akal. Tak tahu nak buat apa. Buntu sangat. Hari-hari aku menangis. Cikgu Midah minta aku tinggal sementara di rumahnya sehingga kami dapat mencari jalan penyelesaian. Aku pernah tanya kat dia, tak boleh ker kalau aku buang je anak dalam perut aku tu? Tapi masa tu bayi dah masuk 4 bulan.

Cikgu Midah cadangkan aku masuk rumah perlindungan supaya aku boleh dapatkan bantuan yang sepatutnya. Masa tu aku ikut je cakap Cikgu Midah. Aku dah tak daya nak pikir. Keluarga aku sendiri buang aku pasal buat laporan polis. Ayah Su kena tangkap tapi nenek, ayah dan kakak aku tetap tak percaya. Entah apa lah yang suci sangat Ayah Su tu pun aku tak tau.

Duduk kat rumah perlindungan, aku jumpa ramai remaja lain yang macam aku. Macam-macam cerita aku dengar. Ada juga yang bukan pertama kali jadi penghuni kat situ. Hati aku masih tak tenang. Aku tak mintak semua ni jadi kat aku. Aku bukan gadis liar. 

Bila baby dah makin besar dan mula bergerak-gerak, apa yang aku mampu buat hanyalah menangis. Aku berperang dengan perasaan aku sendiri. Kadang-kadang aku pegang perut aku dan bercakap dengan baby. Masa lain pulak aku termenung je tak tau nak fikir apa. Ibu penjaga kat rumah perlindungan tu beritahu aku ada pilihan. Sama ada nak jaga bayi aku atau serahkan sebagai anak angkat. Aku tanya dengan dia, macammana aku nak jaga bayi, aku pun belum habis sekolah. Keluarga aku pun tak boleh harap. Diorang langsung tak datang tengok aku. Tak kesian langsung pada aku.

Aku tinggal kat rumah perlindungan sampai hari aku melahirkan. Lepas tu aku tinggal dengan Cikgu Midah. Dialah yang jaga aku dan bantu aku dapatkan sijil SPM. Bayi aku? Aku terpaksa lepaskan dia untuk dijadikan anak angkat. Sekurang-kurangnya dia akan ada masa depan. Aku tahu dia tak bersalah, dia suci macam bayi-bayi yang lain. Aku lepaskan hak aku dengan doa dia akan ditemukan dengan ibu-bapa angkat yang baik. Aku tak kesal dengan keputusan aku. Aku tahu kemampuan aku masa tu. 

Terima kasih Cikgu Midah sebab banyak tolong masa aku susah dulu. Zaman remaja aku dah lama berlalu, tapi aku tak boleh lupa kepahitan yang aku kena lalui. Sekarang, hidup aku cuma ada Cikgu Midah dan keluarga dia. Aku ada cuba untuk berbaik dengan keluarga aku, tapi diorang tak terima aku pernah mengandung luar nikah, walaupun aku adalah mangsa rogol.

Nasihat aku pada yang menyimpang dari landasan hidup, kembalilah kepangkal jalan. Cari orang yang betul-betul boleh membantu supaya bayi tu tak berakhir dalam semak atau depan masjid. Apa jua kesalahan atau kesilapan yang korang dah buat, jangan biar bayi-bayi yang tak berdosa tu bayar untuk dosa korang.