5 Masakan Bujang Bawah 20 Minit Yang Ringkas & Murah Untuk Dihasilkan. Wajib Try!

Jangan cakap bujang, kita yang mommies pun fikir nak cepat masak kan sebab kalau tidak, anak pulak sepahkan rumah, ni semua Cik Ju dah lalui dalam hidup membesarkan anak-anak kecil ni, but dah besar lain pula kerenahnya kan? 

Well, ini antara resepi yang korang boleh try, cepat, mudah dan yang penting perut uols kenyang. 

Selamat mencuba! 

1. Daging Kisar Goreng

Daging Kisar Goreng MyResipi Chef Hanieliza
Gambar : MyResipi 

Daging kisar sangat mudah untuk disediakan kerana ia mengambil masa yang singkat untuk dimasak. Resepi Daging Kisar Goreng ini pula dipenuhi dengan cendawan dan lada benggala yang sangat mengenyangkan. Hidangan ini sesuai dihidangkan dengan nasi, roti mahupun burrito wrap.

Bahan-bahan diperlukan:

  • 400 g daging kisar (Direlaikan) 
  • 1 labu bawang besar  (Dipotong dadu) 
  • 4 biji tomato (Dicencang) 
  • 1 batang lobak merah  (Dipotong dadu) 
  • 3 sudu makan sos tomato 
  • 1 tin cendawan butang  (Dihiris nipis) 
  • 1 biji capsicum hijau  (Dipotong dadu) 
  • 1 sudu makan lada hitam 
  • 3 sudu makan minyak masak 
  • Garam secukup rasa

Cara menyediakan dan memasak:

  1. Panaskan minyak kemudian tumiskan bawang besar sehingga layu. 
  2. Masukkan daging kisar dan kacau supaya masak serata.
  3. Masukkan tomato yang dicencang, lobak merah, sos tomato, cendawan butang, capsicum dan lada hitam. 
  4. Masakkan sehingga pekat dan naik minyak. Hidangkan. 
  5. Rasakan garam dan biar masak sehingga pekat.
  6. Sedia dihidangkan.

2. Kerabu Mi Segera

Kerabu Mi Segera MyResipi Chef Hanieliza
Gambar : MyResipi 

Resepi Kerabu Mi Segera ini pasti menaikkan selera sesiapa sahaja kerana rasanya yang masam, manis dan pedas. Cara menyediakan juga begitu mudah sekali. Anda hanya perlu mencelur makanan-makanan laut dan mi segera dan menggaulkan semua bahan-bahan. 

Bahan-bahan diperlukan:

  • 3 bungkus mi segera perasa tomyam 
  • 2 sudu makan minyak masak 
  • 6 batang stik ketam (Dipotong kecil)
  • 3 ekor sotong (Dipotong kecil)
  • 3 batang serai (dihiris halus) 
  • ½ batang lobak merah (Dihiris)
  • 1 pokok daun ketumbar (Dihiris)
  • 2 biji cili hijau (Dihiris)                  
  • 2 biji cili merah (Dihiris)   
  • 1 biji tomato
  • 1 biji bawang besar    
  • 1 sudu makan jus limau nipis 
  • 1 sudu teh gula 
  • Garam secukup rasa (sekiranya perlu) 

Cara menyediakan dan memasak:

  1. Didihkan air dan celur mi segera sehingga lembut. Tuskan. 
  2. Masukkan ke dalam mangkuk besar dan gaulkan dengan minyak masak dan perencah tomyam. 
  3. Celurkan stik ketam dan sotong dengan sedikit air. 
  4. Masukkan serai, stik ketam, sotong, bahan yang dihiris, tomato, bawang besar, jus limau nipis, gula, dan garam (sekiranya perlu) ke dalam mangkuk dan gaul rata. 
  5. Hidangkan.

3. Telur Gulung

Telur Gulung MyResipi Chef Hanieliza
Gambar : MyResipi 

Selalunya kita lihat telur dadar disediakan dalam hidangan Nasi Bujang. Untuk resepi Telur Gulung ini, anda boleh menaikkan taraf telur goreng biasa dengan menambah bahan-bahan lain seperti daun sup dan cili merah dan menukar cara-cara memasaknya. Sedap dan senang! 

Bahan-bahan diperlukan:

  • 4 biji telur 
  • ½ cawan susu segar 
  • 3 tangkai daun sup (Dihiris)
  • 1 pokok daun bawang (Dihiris)
  • 2 biji cili merah (Dihiris)
  • 2 sudu makan minyak masak 
  • Garam secukup rasa

Cara menyediakan dan memasak:

  1. Masukkan semua bahan kecuali minyak masak ke dalam mangkuk 
    dan pukul rata. 
  2. Panaskan minyak masak di dalam kuali non-stick dengan api perlahan. 
  3. Tuangkan separuh adunan ke dalam kuali dan lenggangkan 
    supaya rata di dalam permukaan kuali. 
  4. Apabila nampak telur hampir masak gulungkan perlahan-lahan. 
  5. Masukkan ke dalam pinggan dan ketepikan. 
  6. Ulang semula lebihan

4. Sambal Ikan Sardin

Sambal Ikan Sardin MyResipi Chef Hanieliza
Gambar : MyResipi 

Sardin merupakan salah satu bahan dapur yang murah dan sesuai untuk mereka yang bujang. Cara menyediakannya pun senang sekali tetapi untuk resepi Sambal Ikan Sardin ini, sardin dimasak dengan sambal untuk menambahkan lagi oomph

Bahan-bahan diperlukan:

  • 1 tin besar sardin 
  • 15 tangkai cili kering (Dikisar) 
  • 10 biji bawang merah (Dikisar)
  • 2 ulas bawang putih (Dikisar)
  • 1 labu bawang besar (Dihiris kasar) 
  • 3 sudu makan sos tomato 
  • 2 biji tomato (Dibelah 4) 
  • 5 biji limau kesturi  (Diambil jusnya) 
  • 3 sudu makan minyak masak 
  • Garam sekiranya perlu

Cara menyediakan dan memasak:

  1. Panaskan minyak kemudian tumiskan bahan yang dikisar sehingga wangi dan pecah minyak. 
  2. Masukkan sardin, bawang besar dan sos tomato. Kemudian kacau rata. 
  3. Masukkan tomato dan kacau rata lagi. 
  4. Tutup api dan masukkan jus limau kesturi. 
  5. Sedia dihidangkan.

5. Mi Segera Goreng

Mi Segera Goreng MyResipi Chef Hanieliza
Gambar : MyResipi 

Mi segera memang sinonim dengan si bujang tetapi bagaimana jika kita menaikkan taraf hidangan ini dengan resepi Mi Segera Goreng ini. Anda hanya perlu menambahkan bahan-bahan asas dapur seperti kicap, bawang putih, bawang merah dan lain-lain. Hasilnya sangat memuaskan!

Bahan-bahan diperlukan:

  • 3 paket mi segera (Direbus dan tuskan) 
  • 5 biji cili merah  
  • 2 ulas bawang putih 
  • 3 biji bawang merah 
  • (Cili merah, bawang putih, bawang merah ditumbuk bersama)
  • 100 g udang 
  • 100 g sotong (Dihiris) 
  • 300 g ayam (Dipotong kecil)
  • 1 pokok sawi (Dipotong kecil)
  • 50 g kubis  (Dipotong kecil)
  • 1 batang lobak merah  (Disagat ataupun dihiris) 
  • 2 sudu makan kicap 
  • Sedikit air 
  • 3 sudu makan minyak masak 
  • Garam secukup rasa

Cara menyediakan dan memasak:

  1. Panaskan minyak dan masukkan bahan yang ditumbuk. Goreng sehingga naik bau. 
  2. Masukkan udang, sotong, dan ayam. Kacau rata dan biarkan sehingga masak. 
  3. Masukkan semua sayur, kicap dan air. Kacau rata. 
  4. Masukkan mi segera dan kacau rata sehingga semua bahan sebati. 
  5. Sedia dihidangkan