Dicurangi & Ditinggal Isteri Tapi Tetap Setia, Watak Razil Dalam Telemovie ‘Saat Hilang Cintamu’ Masih Hidup Hingga Kini

Dua tiga hari ni, lalu lalang di timeline tentang cerita kesetiaan Razil dalam telemovie Saat Hilang Cintamu. 

Razil sentiasa menjadi penyokong paling setia untuk isterinya. Saat si isteri dicemuh ibunya kerana tidak bekerja, Razil mencarikan kerja untuk Salina. Namun, hubungan mereka mula renggang apabila Salina termakan kata hasutan rakan sekerjanya yang memperlekehkan Razil.

Salina semakin berubah apabila beliau terpalit dengan gosip pejabat, sehinggalah terjebak bermain cinta dengan Hadi. Hubungan terlarang mereka tak terhenti di situ sahaja, mereka kemudiannya tertangkap basah di sebuah hotel.

 Setianya si suami sehingga apabila si isteri berselingkuh pun masih lagi beliau mahu menerima dan menyayanginya. Tetapi hati Salina sudah tawar. Beliau meminta Razil untuk menceraikannya. Razil akur.

Setia dan kasih sayang Razil kepada bekas isterinya masih ada biarpun Salina sudah berkahwin. Namun sesuatu berlaku pada Salina menyebabkan beliau sakit terlantar di rumah. Malah ketika bekas isteri terlantar gara-gara kemalangan, Razil sanggup untuk menerima kembali bekas isterinya menjadi isterinya yang sah dan sudi untuk menjaganya. 

Lakonan Zamarul Hisham sebagai Razil dan Rita Nadira sebagai Salina cukup memberikan kesan emosi kepada penonton yang menonton telemovie slot Cerekarama ini.

Tapi siapa sangka kisah ini sebenarnya diadaptasi daripada kisah benar, di mana dikatakan watak Razil masih lagi hidup sehingga ke hari ini dan sudah berusia 70 tahun. Dalam satu perkongsian, Zamarul turut meluahkan kekecewaannya yang tidak sempat berjumpa dengan tuan badan semasa penggambaran filem ini.

Memang sangat setia orangnya.