Autisme bukan halangan untuk mencintai anak istimewa ini walaupun dia bukan datang dari rahimku.

Bukan mudah nak jaga anak istimewa atau OKU, memang banyak cabaran yang kita sebagai ibubapa harus tempuhi demi kebaikan anak. Saya terpanggil untuk menceritakan kisah saya yang mempunyai anak penghidap autisme. 

Perkahwinan saya dan suami menjengah usia 5 tahun bila kami membuat keputusan untuk mengambil anak angkat. Sepanjang perkahwinan, kami dah banyak usaha untuk memiliki zuriat sendiri, tapi mungkin bukan rezeki kami. Kalau dah ketentuanNya, kami redha. 

Bila ada saudara sebelah suami yang ditimpa kesusahan dan tak mampu nak membesarkan anaknya yang masih kecil, saya dan suami terfikir mungkin nie peluang keemasan kami. Kami terus offer untuk membantu. Kami faham kesusahan ibu muda yang kehilangan suami untuk membesarkan anak sendirian. Ibu pada baby Akmal lemah lembut orangnya. Syarat yang dia minta pada saya dan suami sangat berpatutan, hanya perlu bawa pulang Akmal ke kampung bila ada kelapangan. 

Akmal sangat comel dan mudah dijaga. Beberapa bulan setelah Akmal tinggal dengan kami baru saya perasan sesuatu yang berbeza pada Akmal. Dia masih belum boleh bertutur dan sangat sukar untuk memberikan respond. Selepas temujanji dengan doktor, kami diberitahu Akmal seorang kanak-kanak autisme. Mungkin ibu kandung Akmal tidak menyedari masalah kesihatan Akmal atau sengaja merahsiakannya dari kami. Tak kisahlah apa alasan ibu Akmal, saya maafkan. 

Bagi saya pula, diagnos yang diberikan doktor tentang keadaan Akmal tidak sedikit pun memberi kesan negatif. Walau suami memohon maaf dan memberi pilihan untuk memulangkan kembali Akmal pada ibunya, saya tegah. Saya sayangkan Akmal seadanya. Pada saya, Akmal adalah anak saya dunia akhirat. Walau apa pun kondisi Akmal, saya tetap sayangkan dia. Akmal mungkin berbeza tetapi dia sangat istimewa buat saya. 

Lima tahun berlalu, namun setiap hari saya pelajari perkara baru. Betul lah kata orang pengalaman adalah guru terbaik yang akan membimbing kita dalam kehidupan. Suami saya cukup supportive dan memahami, dia tidak pernah ucapkan apa-apa yang mengguriskan hati saya sejak hari saya pilih untuk terus menjaga Akmal. Akmal memang hyper, ada hari dia okay, ada hari dia throw tantrum sampai saya pun rasa nak give-up. Itu sebabnya saya tak pernah memberi nasihat atau bercerita secara mendalam sangat tentang kehidupan harian kami, sebab lima tahun ni bagi saya terlalu singkat. Masih banyak lagi masa saya perlukan untuk pelajari tentang autism dan betul-betul mengenal Akmal.

Ibubapa saya dan ibu Akmal sendiri tidak putus memberikan kata-kata semangat. Saya telah berhenti berkerja sejak beberapa tahun lalu untuk menjaga Akmal. Walaupun saya dah jarang keluar apalagi menjemput tetamu datang ke rumah, saya bahagia. Cabaran yang saya tempuhi setiap hari, penat lelah saya menjaga Akmal takkan pernah pudarkan sikit pun rasa sayang saya pada Akmal. Saya lebih suka duduk dirumah berbanding spend masa dekat luar sebab takut Akmal mengganggu orang sekeliling, dia memang hyper-active dan lasak. Nak bawa kemana-mana pun risau takut dia pecahkan barang ke, kacau anak orang ke atau mengamuk tak tentu pasal.

Kelakar tapi tu semua perkara biasa dalam kehidupan saya sekarang. Pernah Akmal bad mood dan tolak saya semasa saya menghalangnya keluar rumah sebab hujan, terhentak kepala saya dekat pintu sampai berdarah. Akhirnya kami semua keluar juga sebab kena pergi hospital. Puas Akmal bermain dekat indoor playground hospital masa saya dirawat dekat emergency. Sampai sekarang ada parut enam jahitan dekat kepala.  

Orang selalu tanya, semua perkara yang terjadi ni tak mempengaruhi kehidupan saya ke? Mestilah ada, saya pun hanya manusia biasa tapi saya tetap sayang keluarga kecil kami. Saya sanggup korbankan apa saja untuk suami dan Akmal. Lagipun ibubapa saya selalu ingatkan ni baru ujian di dunia, di akhirat nanti pasti lebih mencabar. Bila saya down, saya selalu ingatkan diri sendiri betapa bahagianya saya rasa semasa mula-mula bertemu Akmal. Betapa senyumannya menyembuhkan luka bertahun-tahun yang saya rasa kerana mendambakan kehadiran cahaya mata. Akhirnya Allah makbulkan doa saya untuk punya anak melalui Akmal.

Sesungguhnya kita hanya merancang dan Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Saya benar-benar sayang Akmal, kadang sampai terlupa saya bukan ibu kandungnya. Akmal adalah sebuah hadiah yang tak ternilai untuk saya dan suami. Saya telah berjanji untuk memenuhi amanah dariNya ini dan menjaga Akmal sehingga akhir hayat. Saya harap satu nanti bila saya pergi buat selamanya, saya akan bertemu Akmal di taman-taman syurga.