Bank di India guna seterika ‘bunuh’ virus Covid-19

Setakat pembacaan Cik Ju tentang covid-19 ni, tak ada lagi vaksin yang boleh merawat virus tersebut, tapi pelbagai cara netizen cuba usahakan untuk membunuhnya. 

Seorang pegawai Bank of Baroda di Gujarat, India menggunakan seterika bagi membasmi kuman pada cek yang diterima daripada pelanggan.

Pengguna Twitter, Anand Mahindra berkongsi video di media sosial menunjukkan rutin harian di kaunter bank berkenaan dijalankan sepanjang tempoh perintah berkurung di India.

Dalam klip video itu, seorang kakitangan bank memakai topeng hidung dan mulut dan sarung tangan mengambil cek menggunakan penyepit. Cek yang diambil itu terus diletakkan di atas meja sebelum ditekap dengan seterika.

Anand berkongsi klip video itu dengan hashtag ##whatsappwonderbox dan video itu kini ditonton 118,000 kali. 

“Saya tidak fikir teknik digunakan pada cek itu berkesan tapi kreativiti itu perlu dipuji,” katanya.

Pelbagai reaksi diterima daripada warganet dan ada beranggapan teknik itu berkesan, manakala ada yang ragu-ragu.

Setakat ini, India mencatatkan 3,588 kes jangkitan Covid-19 dengan 99 kematian.