Eh kalau cakap tentang Maya Karin, siapa je tak suka, kan? Aktress jelita itu memang menarik perhatian betul apatah lagi dalam keadaan sekarang yang dia sendiri membuka gerai burger di kawasan rumahnya iaitu di Sungai Buloh. 

Pelakon yang terkenal dengan watak puntianak dalam filem Harum Sundal Malam, ini berkata permintaan terhadap Burger Bakar Maya bukan sahaja dalam kalangan penduduk di sekitar rumahnya, tetapi juga dari peminatnya di sekitar Lembah Klang.

Tidak hairanlah, sejak membuka gerai mini Maya Burger Bakar itu awal Mac lalu, Maya Karin seolah-olah tidak menang tangan apabila menerima tempahan orang ramai, malah ada syarikat dan agensi yang menempah dalam jumlah yang banyak.

Sehubungan itu, Maya Karin dalam satu perkongsian pada 9 Mei lalu berkata, beliau akan membuka cawangan Burger Bakar Maya di beberapa lokasi bagi memudahkan peminatnya untuk menikmati burger berkenaan.

“Inilah gerai burger sederhana saya, tetapi sudah ratusan burger yang kami hasilkan.  Kesemuanya dihasilkan dengan kegembiraan dan udara segar menggunakan daging burger Dara bermutu.

“Tidak lama lagi saya akan buka cawangan di beberapa lokasi seperti Sri Kembangan, Kota Damansara dan Shah Alam,” katanya.

Burger Bakar Maya menyediakan pelbagai menu menarik bermula pada harga RM4 bagi burger Dara Chick sehingga RM20 (burger istimewa Wagyoo).

Antara menu Burger Bakar Maya yang mendapat sambutan hangat ialah burger kuah sate dengan pilihan daging ayam, kambing dan daging lembu, selain pelbagai menu lain yang menampilkan cita rasa tempatan.

Dalam perkongsian pada 11 Mei lalu, Maya Karin berkata, beliau turut membuat penghantaran bagi individu yang ingin menyumbang atau bersedekah termasuk untuk petugas barisan hadapan.

“Penghantaran burger kali kedua bagi petugas barisan hadapan di sekatan jalan raya minggu lalu. Sebanyak 40 burger untuk hidangan lewat malam. 

Minggu ini, hidangan untuk orang kurang upaya (OKU), warga emas dan anak yatim atas nama penaja yang ingin bersedekah,” tulisnya yang mendapat kebenaran pihak berkuasa untuk membuat penghantaran burger berkenaan.

Pasti ramai yang teruja kerana burger berkenaan dihantar sendiri pelakon jelita itu, malah kehadirannya menarik perhatian petugas barisan hadapan yang mengambil kesempatan untuk bergambar dengannya.

Untunglah siapa yang dapat makan air tangan primadona terkenal itu, jangan sampai pembungkus Burger Bakar Maya dibingkai pula!

Sumber: Instagram @mayakarin

uols mungkin berminat baca:
5 kebaikan makan jamu di usia muda
Tak mampu beli mask, orang asli Mexico anyam sendiri guna daun