Mandi air panas memang syok kan, lagi-lagi kalau pagi-pagi sebelum pergi kerja tu. Atau malam lepas dah balik kerja pun, mandi air panas ni sangat melegakan otot kan.
Rupanya, banyak je manfaat mandi air panas ni yang mungkin ramai tak tahu. Meh Kak Jah share dengan korang kelebihan mandi air panas.
Bantu tidur lena
Yang ni Kak Jah setuju sangat. Kalau suami Kak Jah susah tidur, Kak Jah akan suruh dia mandi air panas sebab boleh memberikan tidur lena. Pada waktu malam suhu badan kita secara semula jadi jatuh, yang menandakan penghasilan melatonin atau hormon tidur. Berendam dalam mandian air hangat akan meningkatkan suhu badan, dan membantu penghasilan melatonin sekaligus menyiapkan badan untuk tidur.
Menenangkan Otot
Haba akan mengalirkan darah yang bukan sahaja baik untuk peredaran tetapi juga dapat membantu otot yang sakit atau tegang untuk berehat. Haaa penambahan garam epsom dalam mandian air hangat telah terbukti membantu mengurangkan keradangan pada sendi yang disebabkan oleh arthritis atau penyakit otot lain tau.
Boleh Melegakan Selesema Dan Demam
Dulu-dulu masa kecik-kecik arwah opah Kak Jah selalu akan mandikan dengan air panas kalau selsema dan demam. Sebabnya ialah stim dari mandian air panas memberi keajaiban pada hidung tersumbat dan batuk. Hidung tersumbat yang disebabkan oleh peradangan di bahagian hidung dan stim menyebabkan saluran darah di wajah dan hidung bergerak sehingga melonggarkan penyumbatan mukus. Mandi berendam juga boleh membantu sistem imun badan untuk melawan virus dengan lebih baik.
Rawat iritasi kulit
Kombinasi mandian panas dengan minyak pati tertentu seperti kelapa, zaitun, lavender atau oatmeal boleh menghidrat dan menyembuhkan kulit yang kering atau iritasi. Malah, aromaterapi sangat bagus untuk mengawal mood atau mengurangkan tekanan. So, masa mandi air panas tu titiskan beberapa titis minyak aromaterapi okay?
Haaa amacam? Best kan manfaat mandi air panas. Tapi, mandi berpada-pada ya sebab air panas ni boleh menjadikan kulit kita kering kalau selalu buat. Kalau rasa perlu je mandi air panas dan korang boleh rasai manfaatnya. Selamat mencuba!