Jangan biar gelaran ibu tunggal membuat kita lemah atau jadi penghalang bahagia.
Idealnya sebuah keluarga itu adalah apabila anak-anak punya ibu dan bapa yang tinggal bersama. Bila hubungan perkahwinan terlerai dipertengahan jalan, anak-anak sering merasa terabai atau tidak lengkap. Sebagai ibu tunggal, menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dan juga seorang bapa kepada anak-anak saya, bukan perkara mudah.
Bila memilih untuk bercerai dengan suami, saya nekad membawa keluar anak-anak dari rumah yang kami diami. Bukan berlagak sombong, tetapi saya tak mahu membuang masa untuk bertengkar dan bergaduh hanya kerana harta. Nak kata saya orang berada pun jauh sekali, yang ada cuma sedikit simpanan untuk memulakan hidup baru.
Kenapa saya memilih untuk bercerai? Jawapannya kerana saya mahu jadi yang terbaik untuk diri saya sendiri dan anak-anak. Tekanan yang saya hadapi ketika bersama suami tak mampu lagi saya tanggung. Saya jadi pemarah dan kurang sabar. Kadangkala anak-anak jadi mangsa saya. Kasihan mereka. Saya tahu ramai yang menyalahkan saya ketika mengambil keputusan untuk bercerai, namun orang luar tidak tahu bagaimana rasanya hidup dengan lelaki yang bermuka-muka.
Cabaran terbesar yang saya hadapi adalah cuba bangkit dan keluar dari stigma menjadi ibu tunggal. Saya bukan hanya perlu membiasakan diri dan anak-anak dengan rutin baharu tetapi juga dengan menangani emosi yang bercelaru.
Walaupun keluarga dan rakan-rakan baik saya banyak membantu, masyarakat sekeliling selalu saja menghukum. Mungkin masyarakat kita (terutamanya makcik-makcik bawang kat luar sana) perlu lebih sensitif terhadap perasaan orang lain.
Minta diceraikan tidak bermaksid saya perempuan jahat, tapi saya dah tak boleh tahan bila saya tidak dihargai. Mungkin yang mengata saya tu memang suka kena pukul dengan suami sendiri, atau memang suka bila maruahnya dipijak-pijak oleh lelaki yang berjanji untuk melindungi. Mungkin juga mereka suka menjadi hamba lelaki yang menggunakan agama bagi menghalalkan sifat tidak bertanggungjawab dan ego mereka. Saya tak sanggup!
Perjuangan saya melawan emosi supaya sentiasa positif itu lebih hebat cabarannya berbanding perjuangan memenuhi keperluan material diri dan anak-anak. Mana hati yang tak sedih bila anak-anak diejek kerana tiada ayah. Mana hati yang tak hancur bila anak-anak bertanya mengapa ayah mereka tidak datang menjenguk atau bertanya khabar sedang yang lain bahagia punya ibu dan ayah. Tapi itu lah takdir yang perlu saya hadap. Kadang-kadang saya habis alasan nak bagi pada anak-anak bila mereka berulang kali bertanya tentang ayah mereka. Tapi tidak sekali pun saya memburukkan ayah mereka kerana tidak mahu mereka menjadi anak derhaka.
Saya amalkan komunikasi terbuka dengan anak-anak. Lebih mudah bagi kami berkongsi perasaan dan mencari penyelesaian. My support system, my kids. Saya bersyukur kerana episod perceraian jadi titik tolak saya menjadi individu dan ibu yang lebih baik. Walaupun kadangkala lelah, saya puas.
Apa jua kekurangan, saya pesan pada anak-anak untuk sentiasa bersyukur dengan rezeki Allah. Saya selalu ingatkan mereka bahawa mereka tidak cacat hanya kerana tidak punya ayah dalam hidup mereka.
Satu hakikat yang kita perlu terima apabila bergelar ibu tunggal adalah pandangan serong masyarakat konon kita nak rampas suami orang. Lucu, tapi itulah mentaliti Melayu. Saya tidak perlukan suami yang tidak bertanggungjawab dan saya tidak perlukan lelaki untuk jadi penyelamat. Dengan kehadiran anak-anak, saya yakin saya okay. Kami masih ada keluarga dan ALLAH.
Keajaiban yang Allah berikan pada saya-dan anak-anak tak terkira banyaknya. Bukanlah bermaksud kami senang-lenang, tapi kami ada secukupnya. Rezeki yang Allah berikan sentiasa ada. Memang terasa berat bila saya seorang yang harus menyiapkan segala keperluan kami anak beranak (bekas suami tidak pernah memberi sebarang nafkah), namun saya redha. Dengan redha itu, saya lebih kuat dan gembira.
Ikhlas saya katakan, kehidupan kami anak beranak sekarang ini bahagia. Soal jodoh saya serahkan sepenuhnya pada takdir. Kalau Allah dan tentukan, siapa saya untuk menidakkan kehendakNya. Tapi saya tidak takut untuk terus jadi ibu tunggal. Saya kini lebih positif dan tenang.