Kelahiran cahaya mata merupakan satu pengalaman menggembirakan, khususnya bagi mereka yang pertama kali bergelar ibu bapa.
Selain menitikberatkan penjagaan dari segi penyusuan dan menyediakan persekitaran yang baik, ibu bapa juga perlu mengutamakan aspek lain, termasuk penjagaan kesihatan fizikal, khususnya kulit kerana bayi mempunyai kulit yang sangat sensitif.
Terdapat beberapa cara untuk menjaga kulit bayi supaya kekal sihat dan lembab, antaranya pemilihan produk mandian yang sesuai dan berkualiti.
Justeru, ibu bapa perlu lebih teliti dan peka ketika memilih produk mandian untuk bayi kerana penggunaan produk yang tidak sesuai akan menjejaskan kulit bayi sehingga menyebabkan ketidakselesaan dan iritasi.
Elak guna produk jejaskan kulit bayi
Menurut Pakar Dermatologi Pediatrik Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. Heah Sheau Szu, ibu bapa perlu elak membeli barangan mengandungi ramuan yang akan menjejaskan kulit bayi kerana ia akan menyebabkan kulit mereka menjadi kering sehingga mendatangkan masalah alergi.
“Antara kandungan yang perlu dielakkan ialah Sodium Lauryl Sulfate (SLS), Sodium Lauryl Ether Sulfate (SLES), Cocamide DEA, Dimethylol-dimethyl (DMDM), Methylisothiazolinone (MIT) dan Paraben.
“Bagi bayi yang alergi terhadap pewangi, elak beli produk yang mengandungi Parfum, Fragrance, Benzyl Alcohol dan Ethanol,” katanya.
Jelas beliau, ramai dalam kalangan ibu bapa yang beranggapan produk mandian berbuih banyak lebih bersih apabila digunakan namun tanggapan tersebut adalah tidak tepat kerana lagi banyak buih dihasilkan maka lebih banyak bahan aktif yang terkandung dalam produk berkenaan.
“Ini akan menipiskan lagi lapisan pelindung kulit pada badan bayi sehingga menyebabkan kulit mereka menjadi kering dan kasar.
“Oleh itu, elak guna produk berbuih banyak dan mempunyai tahap alkali tinggi kerana ia akan menyebabkan kulit bayi menjadi sensitif,” jelasnya.
Simptom kulit alergi
Mengulas lanjut, kata Dr. Heah, simptom alergi akan muncul sekiranya bayi diberi produk mandian yang tidak sesuai dengan kulit mereka.
“Antara simptom tersebut ialah bintik merah, ruam, kulit jadi kasar, kering, gatal dan mengelupas, jika tahap alergi semakin teruk, bayi akan rasa sakit malah kulit akan menjadi merah selain gatal.
“Mereka juga akan garu apabila gatal sehingga kulit mengelupas dan berdarah malah berkemungkinan mendatangkan komplikasi seperti jangkitan kuman,” ujarnya.
Oleh yang demikian, tegas beliau, adalah penting untuk ibu bapa memastikan produk mandian yang digunakan adalah sesuai untuk bayi supaya kulit mereka lebih terjaga dan sihat.
Guna produk mandian secara betul
Tambahnya, kebiasaannya, simptom alergi tidak akan muncul selepas menggunakan produk tertentu sekali dua kerana tanda-tanda alahan hanya akan nyata selepas beberapa minggu atau bulan.
“Kadangkala punca bayi alah terhadap sesetengah produk mandian disebabkan tahap kepekatan sumber sensitif yang digunakan bagi produk berkenaan.
“Selain itu, perlu diingatkan bahawa amaun sabun atau krim mandian yang digunakan juga salah satu faktor menyebabkan kulit bayi menjadi alergi,” katanya.
Dr. Heah menjelaskan bahawa, sesetengah ibu bapa menyangka kulit bayi hanya akan bersih sekiranya menggunakan amaun sabun atau krim mandian yang banyak sedangkan cara tersebut akan mencederakan lapisan pelindung kulit bayi.
“Menggunakan amaun yang banyak juga akan menyebabkan kulit bayi menjadi alergi disebabkan sabun atau krim yang tertinggal di atas kulit mereka.
“Justeru, dicadangkan hanya menggunakan sabun atau krim mandian sekali sehari kerana adalah lebih baik menggunakan air yang bersih untuk mandi bagi mengelakkan bahan kimia menjejaskan kulit bayi,” tambah beliau.
Dalam pada itu, katanya, bagi mengelakkan kulit bayi mengalami iritasi, ibu bapa perlu mengetahui cara yang betul untuk memandikan anak mereka.
“Cara yang betul ialah meletakkan jumlah sabun mandian yang sesuai di atas tapak tangan, tambah sedikit air kemudian mandikan anak atau masukkan sabun mandian dalam besen mandi bayi dan mandikan bayi dengan air yang bersih.
“Perlu pastikan tiada kesan sabun atau krim mandian yang tinggal atas badan bayi kerana bekas tersebut bukan sahaja akan menyebabkan alergi terhadap kulit malah mungkin menjejaskan mata dan hidung,” jelasnya.
Kenali kondisi kulit bayi
Katanya lagi, ibu bapa, khususnya yang baru menimang cahaya mata perlu mengenali kondisi kulit bayi, termasuk mengetahui punca kulit supaya produk mandian yang digunakan tidak akan merengsakan kulit anak mereka.
“Ibu bapa boleh mencari produk mandian sesuai untuk anak menerusi saluran sesuai seperti di laman web berkaitan.
“Selain itu, mereka juga perlu peka terhadap setiap produk mandian yang digunakan, sekiranya didapati anak alergi terhadap produk berkenaan, maka hentikan penggunaannya,” katanya.