Walaupun susah, dengan azam dan disiplin, korang boleh capai berat badan ideal dan jadi lebih sihat
Dari zaman remaja hingga aku masuk ke usia 20-an, ramai panggil aku budak gemokk. Memang la aku gemok, Cuma rasanya lagi molek kalau panggil aku chubby kot. Mula-mula tu aku takde la terasa sangat. Tapi bila masuk uni, aku jadi bahan ejekan budak-budak. Peti ais la, anak gajah la, sampai senior aku panggil aku Dumbo (anak gajah yang telinga panjang tu). Tak comel okay!
Marah bila orang panggil aku gemuk? Memang la. Tapi bila aku pikir balik, bukan salah orang (tak sepenuhnya la). Orang-orang sekeliling aku tak pernah paksa aku makan, aku yang dengan rela hati melantak selagi ada makanan. Aku gemuk bukan sebab keluarga atau kawan-kawan inject lemak dalam badan aku, tapi aku yang sabotaj diri aku sendiri. Aku yang pilih untuk jadi gemuk. Sedih, tapi itu kenyataan.
Bila aku terima kenyataan tu, aku tekad untuk kuruskan badan. Sebelum ni ada jugak try, tapi tak tahan. Godaan makan tu besar tau. Tapi aku bersyukur aku berjaya juga kecilkan saiz aku. Kalau dulu saiz baju aku XXL, sekarang dah boleh pakai saiz M.
Cara aku motivate diri untuk mulakan proses penyingkiran lemak? Aku pesan kat diri aku hari-hari, kalau aku tak turunkan berat badan, aku boleh mati awal. Memang la mati tu pasti, tapi aku tak nak lah orang mengeluh angkat jenazah aku.
Masa berat aku mencecah 100kg (+), aku susah nak bergerak. Kaki selalu ja sakit. Nak solat pun kena duduk kat kerusi, kalau lama sangat berdiri, mau aku tumbang.
Aku selalu tak sihat. Kadang-kadang nak bernafas pun susah, cepat semput. Baru jalan sikit dah sakit lutut, rasa macam orang tua. Depress giler masa tu.
Aku tahu aku kena tukar gaya hidup terutamanya tabiat pemakanan. Sebelum ni aku main bedal je apa yang aku rasa nak makan. Aku mula kenalkan diet sihat dalam rutin pemakanan dan sukat kuantiti makanan. Memang pelik dan susah bila baru belajar-belajar kenal makanan sihat. Semua rasa tawar, tapi aku kuatkan juga semangat nak kurus. Aku juga mula belajar untuk bersenam.
Tentukan target
Bila aku pilih untuk kurangkan berat badan, aku setkan target yang realistik. Korang pun kalau nak buat perkara yang sama kenalah ada ‘endgame’. Jangan main hentam saja. Takut jadi lebih tak sihat. So, aku setkan berat badan ideal dan juga tempoh masa untuk aku capai apa yang aku nak. Nak kurus bukan senang dan makan masa.
Bila dah set target, kena disiplin. Terutama sekali bab makan dan juga senaman. Aku buat journal untuk refer balik apa yang aku dah makan dan perubahan pada timbangan. Aku tinggalkan soft drink kegemaran aku dan minum green tea atau air kosong sahaja. Burger McDonald? Memang tak la. Walau pun rasa memanggil-manggil, kena kuatkan azam. No ‘FAST FOOD’!
Bab senaman ni, aku nasihatkan korang pilih aktiviti yang korang suka. Kenapa aku cakap macamtu? Sebab, kalau korang tak suka, susah nak istiqomah. Mulalah malas nak bersenam. So aku pilih aktiviti luar yang tak buat aku rasa terkongkong dengan rutin biasa. Hiking, berjalan dan berbasikal antara feveret aku. Tapi aku buat juga la interval training macam rope jumping untuk pembakaran lemak yang lebih. Mula-mula memang payah dan cepat penat. Tapi lama-lama ok. Percayalah.
Aku masih lagi dalam proses mengekalkan berat badan sihat. Perjalanan aku masih belum berakhir walaupun aku bukan lagi XXL. Setiap kali tengok gambar-gambar lama masa aku gemuk dulu aku jadi lebih bersemangat untuk tidak kembali ke fasa itu.
Memang ada kala semangat luntur sekejap tapi aku ingatkan diri sendiri hakikat membiarkan saiz badan semakin mengembang adalah satu bentuk penganiayaan. Kegemukan itu sebenarnya menyusahkan.