Resepi Bubur Pulut Hitam yang mudah dibuat dan sesuai untuk minum petang!
Tak susah la nak masak bubur pulut hitam cuma memerlukan masa yang panjang dengan merendam pulut semalaman sehingga lembut. Santan pula gunakan santan segar. Bukan santan kotak! Jom kita buat resepi dari Che’ Nom. Mesti akan repeat lagi hihi
Resepi ini boleh dibuat untuk 4 orang makan. Masa penyediaan yang diperlukan selama 15 minit dan masa untuk memasak lebih kurang 40 minit sahaja.
Bahan-Bahan:
- 1 1/2 cawan pulut hitam
- 6 cawan air, untuk merebus pulut
- 1/2 biji kelapa (anggaran 2 cawan santan pekat dan 2 cawan santan cair)
- 2 helai daun pandan, carikkan dan simpul
- 3/4 cawan gula putih
- 1/2 ketul gula melaka
- garam secukup rasa
- 1 sudu besar tepung jagung
Cara Penyediaan:
Cara untuk masak bubur pulut hitam:
- Rebus pulut hitam dengan air dan daun pandan sehingga lembut. Pulut hitam akan pecah kembang apabila lembut. Biarkan pulut masak dan kuah menjadi pekat.
- Masukkan santan cair, garam, gula putih dan gula melaka. Masak sehingga mendidih.
- Kemudian masukkan pula 1 cawan santan pekat. Pada waktu ini anda boleh sesuaikan rasa manis dan masin ikut selera sendiri.
Cara untuk kuah santan:
- Masak baki 1 cawan santan tadi di atas api yang kecil sehingga mendidih. Perlu selalu kacau supaya santan tidak berketul.
- Bancuh tepung jagung dengan sedikit air dan tuangkan dalam santan. Kemudian masukkan garam secukup rasa.
Tips:
Rendam pulut hitam semalaman. Ini supaya dapat menjimatkan masa merebus. Kalau tak cukup masa, memadai rendam selama 3-4 jam, tetapi pulut perlu direbus agak lama untuk kembang dan lembut.