Tokti Buat Cakoi Gebu Kali Ni, Ramai Minta Buka Tempahan

Wah-wah kemain lagi penyanyi nombor 1 negara pun turun dapur berkongsi video beliau membuat cakoi untuk hidangan berbuka puasa.

Menerusi video yang dikongsi di YouTube Siti Official Video, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang pertama kali membuat sendiri cakoi berasa teruja kerana cakoi yang dihasilkan memang gebu dan menjadi.

Pelantun lagu Anta Permana itu turut berkongsi pengalamannya menjual kuih di kampung halamannya di Kuala Lipis, Pahang ketika zaman kanak-kanak.

Siti Nurhaliza masak resipi sedap

Menurutnya, kemahiran membuat cakoi diperoleh apabila dia selalu melihat gerai cakoi di hadapan gerai kuihnya menguli dan menggoreng cakoi sehingga boleh hafal apabila melihat caranya setiap hari.

Dalam video berdurasi enam minit itu, Siti turut berkongsi resepi sambal pencicah untuk cakoi. Jika kebiasaannya cakoi dimakan dengan sos manis pandan, namun Siti membuat sos pedas mengikut cita rasanya.

Paling menarik, ramai peminat yang meminta Siti membuka tempahan untuk cakoi, namun Siti menerusi kapsyen di Instagram miliknya memberitahu tidak membuka tempahan kerana tidak mahu bersilat di dapur.

Jom lihat resepi cakoi dan video yang dikongsi oleh Siti.

Bahan-bahan:

  • 300 gram tepung gandum
  • 2 sudu makan gula
  • Setengah paket yis
  • 1 sudu teh serbuk penaik (baking powder)
  • 1 gelas air
  • Setengah gelas minyak
  • Sebiji telur

Untuk sambal pencicah:

  • 3 tangkai cili merah
  • 2 ulas bawang putih
  • Gula
  • Cuka

Cara-cara: 

1.   Gaul sekata tepung, gula, yis dan dan baking powder.

2.   Masukkan air sedikit demi sedikit dan untuk membuat adunan tepung.

3.   Kemudian masukkan telur, minyak sedikit demi sedikit dan gaul sekata sehingga adunan tidak melekat di tangan dan menjadi doh.

4.  Uli adunan tepung dengan ketebalan sederhana dan potong seperti dalam video.

5.   Kemudian letakkan air pada bahagian tengah untuk mencantumkan dua potongan doh.

6.   Tarik hujung doh untuk bagi panjang sebelum digoreng.

7.   Panaskan minyak dalam kuali dan goreng dalam api sederhana panas sehingga kembang dan kuning keemasan.

8.   Bagi sos pula, tumbuk kesemua bahan sehingga lumat. Dah siap!

Selamat mencuba!

uols mungkin berminat baca:
Dari menghiburkan, bertukar menjadi kontroversi gara-gara pau hangus
Jom buka puasa dengan bebola daging IKEA homemade!