Berlangsung di The Grey Box, Kuala Lumpur baru-baru ini, Everything In Between dengan rasminya diperkenalkan kepada umum oleh pengarangnya, Adriana Ghafar. Personaliti ini, yang mula dikenali sebagai naib juara pencarian Dewi Remaja 2019, hadir mewarnai dunia sastera dengan koleksi puisi dwibahasa dengan tujuan mendekatkan seni ini dengan jiwa muda.
“Puisi bukan milik golongan elit atau ahli akademik; ia boleh dinikmati oleh semua orang,” kata Adriana dan menjadi visinya untuk mendemokrasikan puisi.
“Puisi saya ialah karya yang dekat dengan semua lapisan masyarakat, berupaya menyentuh hati, dan mengingatkan mereka bahawa kisah mereka adalah bermakna dan emosi di sebaliknya perlu dikongsi.”
“Everything In Between”, sebuah gabungan puisi bahasa Melayu dan Inggeris yang digarap dalam tempoh 12 tahun, menyelitkan tema sejagat cinta, keluarga, penolakan, dan kecekalan. Karya ini mengandungi mesej khusus untuk golongan wanita dan anak muda yang mencari ketenangan jiwa, inspirasi, dan kekuatan dalam mendepani cabaran hidup. Sebagai pejuang tegar hak-hak wanita, puisi-puisi Adriana juga mengangkat tema kesaksamaan gender dan pendayaupayaan wanita.
“Sejak dahulu lagi saya sentiasa yakin dengan kuasa perkataan untuk menyembuh, menginspirasi dan menyatukan kita. Koleksi ini mencerminkan perjalanan peribadi hidup saya yang bukannya indah dan bahagia sepanjang masa, tetapi juga dipenuhi liku-liku dan cabaran. Saya terharu dengan sambutan positif yang diberikan dan berharap puisi saya diterima pembaca sekaligus menggalakkan mereka untuk mencari hikmah yang tersirat dalam pengalaman hidup mereka sendiri,” kata Adriana.
Kerjasama dengan Women Of Will
Adriana turut menjalin kerjasama dengan Women Of Will (WOW), sebuah NGO yang melaksanakan inisiatif pemerkasaan usahawan wanita dalam komuniti berpendapatan rendah serta memberikan sumbangan awal sebanyak RM10,000 kepada WOW sebagai tanda komitmen beliau dalam kerjasama tersebut.
“Saya berharap buku saya menyalakan semangat orang ramai terutamanya dalam kalangan golongan terpinggir, untuk menjadikan puisi sebagai wadah penzahiran diri, mencari suara mereka, memperkasakan diri dan berkongsi pengalaman. Kerjasama dengan WOW adalah dekat di hati saya kerana ia sejajar dengan misi saya untuk memperkasa dan menyemarakkan semangat wanita melalui puisi, memberikan sokongan yang mereka perlukan untuk menceritakan kisah mereka dan mencipta perubahan yang memberi impak kepada komuniti,” tambah Adriana.
Menurut Lakshwin Muruga, WOW Executive Director, “Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Adriana, yang berkongsi objektif yang sama dengan kami untuk mendayaupaya wanita. Kami ingin saling menyokong wanita dalam mentransformasi hidup mereka di samping membantu keluarga dan komuniti mereka.”
Pencapaian penting dalam kerjaya Adriana
Pelancaran “Everything In Between” merupakan pencapaian penting dalam karier Adriana. Dikenali ramai menerusi program pencarian Dewi Remaja 2019, Adriana memukau penonton dengan keanggunan, kepintaran dan semangatnya yang tersendiri. Sejak itu, beliau terus melangkah jauh dan mengembangkan sayapnya sebagai pengacara, model, pelakon dan pembaca berita. Adriana yang kini membina kerjaya guaman, menyerlahkan sisi terbaharu dirinya sebagai pemuisi dan penulis menerusi karya ini.
“Everything In Between” ditawarkan dalam tiga kulit buku edisi terhad pada harga RM48 dan boleh dibeli menerusi laman web rasmi adthebuku.com.