Dah basuh tangan? Walaupun amalan mencuci tangan amat mudah untuk dilakukan, namun ia tetap sering diabaikan. Pengabaian ini menyumbang kepada penyebaran penyakit berjangkit seperti Penyakit Tangan, Kaki, dan Mulut (HFMD), yang meningkat dengan ketara di kalangan kanak-kanak Malaysia pada tahun 2023. Dalam usaha meningkatkan tahap kebersihan diri di kalangan kanak-kanak, Lifebuoy telah disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Guardian Malaysia bagi memantapkan amalan penjagaan kebersihan tangan di sekolah-sekolah Malaysia.

Kempen ini adalah sebahagian daripada inisiatif lebih luas yang bertujuan untuk mendidik kanak-kanak mengenai kepentingan mencuci tangan menggunakan sabun menerusi program pendidikan kebersihan bersasar. Disokong oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan Malaysia, program “C untuk Cuci Tangan: Tangan Kecil Masa Depan Gemilang” berjaya diadakan di  SK AU Keramat yang turut menampilkan demonstrasi Glo-Germ oleh Dr Aen Saari.

Demonstrasi itu menunjukkan bagaimana kuman tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan mengajar rutin 7 langkah mencuci tangan yang betul kepada murid sekolah. Acara itu turut menekankan kepentingan mencuci tangan dengan menggunakan sabun, membawa Lifebuoy selangkah lebih dekat dengan misinya untuk menyemai tabiat mencuci tangan sepanjang hayat daripada usia muda.

Program C untuk Cuci Tangan Lifebuoy menyasarkan pihak sekolah kerana mereka memainkan peranan penting dalam menyemai tabiat sihat sepanjang hayat.

Ketua Unilever Malaysia dan Ketua Penjagaan Peribadi Malaysia, Singapura, dan Thailand, Lenny Chuah berkata, “Kebersihan tangan adalah alat yang mudah namun paling berkesan untuk mencegah penyakit. Kami berbangga kerana mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan Malaysia ke arah mencapai matlamat bersama iaitu mendidik kanak-kanak tentang kepentingan tabiat mencuci tangan yang baik dan melindungi mereka daripada kuman berbahaya.

Program ini direka untuk mewujudkan sebuah komuniti yang prihatin, menyediakan pendidikan kebersihan yang penting bukan sahaja untuk memantapkan lagi tabiat mencuci tangan yang baik di kalangan kanak-kanak tetapi turut memperkasakan para guru untuk terlibat secara aktif dalam pembangunan murid, termasuk tingkah laku yang berkaitan dengan kebersihan.

Beliau juga berharap agar program ini akan terus mencatatkan kejayaan cemerlang ke arah mencapai matlamat penyertaan 1,000,000 murid menjelang 2025 dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kebersihan tangan yang baik.