Tiada yang mustahil untuk berjaya! 53 graduan diraikan dalam Program Fondation L’Oréal’s Beauty For A Better Life (BFBL)

53 graduan baharu yang menerima latihan dalam dua bidang kecantikan utama: dandanan rambut dan seni solekan telah diraikan pada 7 November 2024 dalam Program Fondation L’Oréal’s Beauty For A Better  Life (BFBL), dengan kerjasama Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (WOMEN:girls). 

Program BFBL ini telah memasuki tahun kelapan dan berjaya melahirkan 249 graduan dengan rekod cemerlang 90% kadar pekerjaan tercapai dalam tempoh tiga bulan selepas tamat latihan. 

Pada majlis tersebut, Tomas Hruska, Pengarah Urusan L’Oréal Malaysia, menegaskan impak transformasi program  ini, “Beauty For A Better Life mewakili misi jangka panjang L’Oréal Malaysia bagi membantu individu mencipta  kejayaan bermakna dalam kehidupan mereka. Kami amat berbangga untuk memperkasakan kumpulan pelatih  baharu ini yang bakal menjadi inspirasi dalam komuniti mereka menerusi kemahiran yang mereka asah di sini.” 

Tambah beliau, “Kolaborasi kami bersama WOMEN:girls turut melengkapi kejayaan program ini. Melihat semangat  dan dedikasi para graduan ini amat menginspirasikan kita semua. Kami berharap perjalanan mereka sebagai  usahawan kecantikan mampu menjadi penyala harapan kepada individu lain membuktikan bahawa dengan azam,  mereka mampu mengubah kehidupan dan komuniti.” 

Program ini memfokuskan terhadap pemerkasaan wanita menghadapi situasi mencabar, dengan kebanyakannya  tergolong daripada kumpulan berpendapatan rendah, menerusi penyediaan latihan kemahiran dan pembangunan  interpersonal yang mempersiapkan mereka untuk melanjutkan kerjaya cemerlang sebagai jurusolek atau pendandan  rambut. Antara graduan tahun ini ialah: 

Vinmalar A/P Rabil, penganggur lulusan SPM berumur 20 tahun yang mempunyai minat mendalam  terhadap solekan tetapi berdepan masalah kewangan bagi melanjutkan latihan formal. Dengan sokongan  BFBL, Vinmalar kini mempunyai asas bagi mengejar karier impiannya. 

Cheong Yi Wen, yang menemui tujuan baharu dalam BFBL selepas mengalami keletihan fizikal, mental dan  emosi (burnout) dan cabaran kesihatan mental dalam kerjayanya sebelum ini. Program ini membolehkannya bertemu sisi kreatif, dan kini merancang untuk meluaskan kemahirannya terhadap  solekan kesan khas (SFX). 

Izza Izelan, Pengarah Eksekutif WOMEN:girls, memuji impak kerjasama itu berkata, “Kemajuan yang telah kami  saksikan dalam kalangan peserta amat memberi inspirasi. Ramai yang bukan sahaja mengembangkan kemahiran  profesional, tetapi juga berkembang dalam keyakinan diri. Tahun ini, kami juga melihat sebahagian daripada impak  kembali ke dalam program ini dengan salah seorang peserta terdahulu yang menyumbang sebagai Pendidik. Di  WOMEN;girls, kami percaya pada kuasa pendidikan untuk mencipta perubahan masyarakat yang berkekalan, dan  BFBL adalah contoh terbaik komitmen ini.” 

Selain itu, graduan dandanan rambut BFBL 2022, Nursyasya Afina binti Suhaimi turut serta dan kembali sebagai mentor bagi kohort dalam Kursus Dandanan Rambut BFBL 2024. Nursyasya kini memiliki dua salun rambut di Melaka dan baru-baru ini melancarkan akademi latihannya sendiri. 

Program Beauty For A Better Life ini dilancarkan pada tahun 2016 dan telah memberi manfaat kepada lebih 249 wanita sehingga kini. L’Oréal Malaysia berterusan untuk meluaskan capaian program ini menerusi  pembukaan pusat-pusat latihan baharu, melatih tenaga pengajar, menawarkan sesi motivasi, mengadakan kelas  induk dengan kerjasama L’Oréal Professionnel dan L’Oréal Paris, serta membantu penempatan kerja. 

Untuk maklumat lanjut berkenaan Beauty For A Better Life, layari L’Oréal Foundation.