Semoga ibu tenang dekat sana seperti mana tenangnya ibu semasa malaikat cabut nyawamu.
Ibu aku meninggal 2 tahun lepas. Sepanjang dia sakit aku yang paling lama jaga dia sebab aku anak bongsu dan aku taknak bebankan abang dan kakak aku kerana mereka juga sudah uzur. Ibu aku jatuh kemudian dia koma selama sebulan. Sedar dari koma ibu lumpuh seluruh badan. Apa yang paling aku dan adik beradik paling risau adalah pasal penjagaan ibu. Abang and kakak aku dah tua, aku anak-anak masih bersekolah, siapa nak jaga ibu? So bila doktor bagi ibu keluar dari hospital, kami setuju untuk bawa ibu ke rumah abang long.
Abang long awal-awal lagi dah volunteer nak jaga ibu tapi kak long pun tak berapa sihat untuk jaga sorang-sorang. Anak-anak bang long semua dah kahwin dan ada keluarga masing-masing. Kak ngah pulak masa tu ada di luar kawasan dan susah untuk balik sebab suami dia askar. Tinggal dua orang je anak perempuan ibu tersmasuk aku so aku decide untuk berulang-alik setiap dua minggu sekali dari KL ke Batang Kali untuk jenguk ibu sebab kakcik tinggal dengan anak dia dan dia tak boleh drive.
Masa ibu baru-baru sedar ibu tak boleh bercakap, makan tak lalu banyak minum air je so tak susah sangat nak jaga sebab dia banyak kencing dari berak. Masa ini la aku nampak kasih bang long yang tak terhingga pada ibu. Bayangkan bang long yang berumur lewat 50 jaga ibu yang berumur 80 tahun. Gugur air mata aku. Abang long tukar pampers, mandikan dan bangun tiap malam kalau ibu merengek. Tak pernah aku sangka yang bang long orangnya begini sebab dia tegas dengan kami. Pada satu hari kak long tiba-tiba jatuh sakit sebab tak cukup rehat jadi aku buat keputusan untuk bawak ibu balik rumah.
Aku ada tiga orang anak yang sulung lelaki, kak ngah dan bongsu perempuan. Kak ngah yang paling rapat dengan ibu sebab dari kecik ibu suka manjakan dia. Semasa jaga ibu pelbagai dugaan yang datang. Nak keluar pergi mana-mana tak boleh, bergaduh dengan suami, wedding semua kena tolak, macam-macam lagi. Aku taktau macam mana bang long jaga ibu dulu tapi untuk aku dugaan jaga ibu sangatlah besar. Bila cuti panjang nak balik kampung suami tak boleh sebab ada ibu, nak tinggal ibu dekat rumah kakak atau abang serba salah sebab dulu aku yang nak jaga ibu dan kesian dekat ibu sebab nak kena pindah-randah. Anak-anak pula merungut sebab bosan duduk rumah, kadang-kadang aku tinggal sorang-sorang dekat rumah dan suami bawak anak keluar jalan-jalan.
Kadang-kadang tu aku terasa dengan adik-beradik yang lain, masa bang long jaga setiap minggu mesti ada yang datang jenguk ibu tapi bila aku jaga sorang pun tak datang tengok. Marah, sakit hati semua ada masa tu aku marah adik-beradik aku ‘aku tak suruh korang jaga, paling tidak pun datanglah jenguk ibu, hari-hari ibu meronta nak jumpa korang. Takkan nak tunggu ibu pergi baru korang nak datang?’ ini yang aku cakap dekat diorang tapi semua buat endah tak endah sampai satu masa ibu nak balik kampung. Waktu itu, cuti sekolah dah bermula jadi aku turutkan sahaja permintaan dia.
Aku beruntung ada anak perempuan macam kak ngah sebab dia banyak ringankan beban aku. Kadang-kadang dia tidur dengan nenek, dia membuatkan aku tak perlu berjaga tengah malam, suapkan ibu makan mandikan ibu semua kak ngah buat. Alhamdulillah, aku harap nanti bila dia besar kak ngah akan jaga aku macam mana dia jaga ibu. Dua minggu dekat kampung masih tiada siapa yang datang menjenguk, aku sedih sebab waktu itu ibu dah tak larat. Ibu asyik meracau dan aku tahu bila-bila je dia akan pergi. Lepas 3 minggu kakak aku pulang, masa ni takda kata-kata yang boleh gambarkan perasaan aku. Bersyukur, gembira semua ada. Rumah dah tak sunyi seperti sebelum-sebelum ni.
Aku dengan kakak cuba sehabis baik untuk buat ibu gembira. Walaupun tak mampu bercakap, ibu sering tersenyum. Mungkin itu yang dia mahukan, anak-anak ada depan mata. Satu petang, lepas makan bubur, ibu nampak penat. Aku dan kakak kata suruh ibu rehat. Dalam kepayahan, ibu angguk. Bila mata ibu pejam, aku nampak airmata ibu jatuh kat hujung pipi. Waktu tu baru aku sedar bahawa ‘berehat’ ibu tu rehat untuk selamanya. Aku dan kakak redha, pergilah ibu. Semoga ibu tenang dekat sana seperti mana tenangnya ibu semasa malaikat cabut nyawamu.