Ratu cantik gantung sementara mahkota untuk jadi frontliner

Ini baru cantik rupa paras dan peribadi!

Ratu cantik dari United Kingdom, Dr Bhasha Mukherjee menamatkan misi kerja amal di luar negara dan pulang untuk kembali berkhidmat sebagai doktor dalam usaha memerangi wabak COVID-19.

“Saya rasa bersalah memegang gelaran Ratu Cantik England ketika dunia berperang melawan pandemik COVID-19, termasuk rakan-rakan sekerja saya,” katanya.

Mukherjee sebelum ini dimahkotakan Miss England dua tahun lalu, berehat dari karier utama beliau sebagai doktor junior bagi memberi fokus dalam pertandingan ratu cantik dunia Miss World pada Disember 2019.

Difahamkan, wanita berusia 24 tahun itu berada di India sepanjang Mac lalu bagi mewakili sebuah komuniti kebajikan sebagai duta dalam memberikan bantuan kepada beberapa sekolah dan rumah kebajikan di sana.

Mukherjee, bagaimanapun telah membuat keputusan untuk kembali berbakti selepas melihat situasi negara berdepan pandemik yang semakin teruk.

Katanya, beliau juga menerima mesej daripada rakan-rakan di Hospital Pilgrim di Boston, hospital lama tempat beliau pernah bekerja, yang turut menceritakan kepadanya situasi sukar dihadapi mereka ketika ini.

“Bila kamu membuat aktiviti kemanusiaan di luar negara, kamu masih dianggap sebagai ratu cantik yang memakai mahkota, sentiasa bersedia untuk nampak menawan.

“Tetapi, saya teringin untuk pulang ke rumah. Saya teringin datang dan terus pergi bekerja,” katanya.