Sambutan Hari Raya dan Syawal baru-baru ini diserikan dengan aktiviti kebajikan anjuran Celepets Care Raya 2024 dengan kerjasama Komuniti PPRT bagi meraikan kecekalan golongan ibu tunggal dan menyediakan bantuan kepada keluarga mereka. Selain itu, Celepets Care Raya 2024 ini diadakan juga bagi meraikan 15 tahun aktiviti khidmat masyarakat yang bermakna. 

Celepets Care yang terdiri daripada barisan selebriti Malaysia iaitu Dynas Mokhtar, Aishah Sinclair, Atilia Haron, Daphne Iking, Sazzy Falak, Serena C dan Yasmin Hani ini terus utuh dalam mengangkat martabat keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik dan menyebarkan kegembiraan ke seluruh Malaysia. 

ReSkills, platform pembelajaran dalam talian global berasaskan langganan turut bersama menyumbang wang tunai kepada kumpulan penerima daripada komuniti ibu tunggal pada anjuran kali ini. Tambahan lagi, inisiatif ini juga turut mendapat tajaan daripada syarikat pemula dan PKS seperti Kiddocare, Vitahealth, Wellsen, Hazel’s Bites, Baba Seafood Enterprise, Sayur Kita Asia, dan Dadih ala Ice Cream. Tidak ketinggalan, setiap ahli Celepets juga menyumbang RM2,000 sebagai sumbangan peribadi untuk inisiatif ini. 

Pelbagai aktiviti permainan, cabutan bertuah dan pengagihan duit raya kepada ibu tunggal dan anak-anak menambahkan lagi kemeriahan Celepets Care Raya 2024. 

Menurut Dynas Mokhtar, yang juga pemilik lokasi yang menaja Celepets Care Raya 2024 berkata “Dalam setiap kuntuman senyuman yang kami lihat dan setiap pelukan yang kami kongsikan, kami menzahirkan komitmen tidak berbelah bahagi Celepets Care kepada golongan ibu tunggal dan keluarga mereka yang menginspirasikan kami dengan kecekalan mereka. Kami mensyukuri peluang untuk bersama-sama berdiri dengan 30 buah keluarga yang luar biasa ini, bukan sahaja untuk memberikan bantuan tetapi menggenggam harapan dan bersetia kawan dengan mereka. Kesungguhan kami untuk menyumbang kepada kesejahteraan mereka kekal teguh, dan kami ingin merealisasikan sebuah komuniti yang golongan ibu tunggalnya diperkasa, dihargai dan disokong agar terus berkembang maju.” 

“Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penaja yang turut serta dalam misi kami untuk membantu ibu tunggal dan keluarga mereka.”

Harapan Celepets bagi inisiatif dan usaha sama kali ini semoga ia menjadi satu bentuk amal jariah yang dapat memberi impak positif kepada semua golongan masyarakat. Justeru itu, Celepets Care turut menjemput individu dan organisasi bersama-sama menyertai misi dalam menwujudkan masa depan yang lebih cerah untuk semua rakyat Malaysia. Sumbangan boleh disalurkan kepada akaun Maybank Purple Unicorn SB (564276563563). Semua hasil kutipan akan disampaikan kepada Kindness Malaysia untuk diagihkan kepada ibu tunggal dan keluarga mereka.

Maklumat lanjut tentang Celepets Care dan cara untuk menyertainya boleh didapati dengan menghubungi Niney Chong di [email protected].