Makanan berpantang selalu orang kaitkan dengan ‘tak sedap’. Sebabnya ada persepsi yang makanan pantang mesti tawar habiang bak kata orang utara.

Aip, NO NO NO. Sebenarnya orang berpantang pun boleh makan sedap-sedap macam orang tak berpantang. Malah lebih sedap sampaikan yang tak berpantang pun boleh join sekaki sebab kecur air liur tengok menu orang berpantang.

Meh Sis Yana nak share sikit 5 resepi menu pantang best yang boleh korang cuba masa berpantang. Yang penting mudah dan tak cliché.

1. Ikan stim

Kredit: Rida Shafie

Bahan-bahan:

  • Ikan
  • Bawang putih, bawang merah, halia, serai – hiris halus
  • Lada hitam
  • Air limau nipis/air asam jawa
  • Daun ketumbar/daun bawang
  • Garam, gula sebagai perasa

Cara penyediaan:

Letak semua bahan atas ikan dan kukus sampai masak.

2. Kari ikan (tanpa santan)

Kredit: FB Resepi Sheila Rusly

Bahan-bahan:

  • Ikan
  • Bawang putih
  • Bawang merah
  • Halia
  • Halba campur
  • Daun kari
  • Air asam jawa
  • Serbuk kari ikan
  • Tomato

Cara penyediaan:

  1. Tumis bawang putih, bawang merah, halia, halba campur.
  2. Masukkan tomato dan daun kari. Tumis sampai layu.
  3. Masukkan serbuk kari ikan dan biarkan sampai pecah lemak.
  4. Masukkan air, ikan dan air asam jawa. Bila ikan dah masak, masukkan garam dan gula sebagai perasa.

3. Ayam ungkep lada hitam

Kredit: Air Tangan Kak Piah

Bahan-bahan:

  • Ayam 
  • Bawang putih, bawang merah, halia, kunyit hidup, ketumbar, jintan – blend
  • Serai – ketuk kasar
  • Lada hitam 
  • Air asam jawa

Cara penyediaan:

  1. Tumis bahan kisah sampai naik bau, dan masukkan serai. Tumis sampai garing.
  2. Masukkan air dan ayam. Agak-agak nak kuah banyak mana dan tutup kuali dengan tudung periuk.
  3. Bila ayam dah masak, masukkan garam, asam jawa dan lada hitam. Gaul sebati dah siap untuk dihidang!

4. Singgang ayam Kelantan

Kredit: Wan Haslina

Bahan-bahan:

  • Ayam
  • Bawang putih, bawang merah, halia, lengkuas, ketumbar – tumbuk
  • Serai – ketuk kasar
  • Lada hitam
  • Air asam jawa/asam keping

Cara penyediaan:

  1. Masukkan semua bahan dalam periuk, masak sampai mendidih.
  2. Masukkan garam dan siap!

5. Daging Black pepper

Kredit: Resepi Che Nom

Bahan-bahan:

  • Daging – rebus sampai empuk
  • Bawang putih, bawang merah, halia – hiris halus
  • Sos black pepper
  • Lada hitam

Cara penyediaan:

  1. Tumis bawang putih, bawang merah, halia sampai naik bau.
  2. Masukkan sos black pepper dan air. Ikut nak kuah banyak mana.
  3. Masukkan daging, garam, gula dan lada hitam. Nak tambah sos tiram pun boleh. Siap untuk dihidang.

Macam mana 5 menu yang Sis Yana share ni? Menyelerakan tak? Selain daripada menu lauk kat atas ni, korang bolehlah selitkan menu sayur dan buah-buahan tau. Jangan makan lauk semata.

Sebab buah dengan sayur nilah yang akan mudahkan ibu-ibu untuk buang air besar nanti. Yang pasal sayur atau buah sejuk tu mitos je. Antara buah dan sayur yang boleh korang cuba ialah sayur sawi hijau, bayam, kucai, oren, betik dan pisang,

Selamat berpantang dengan menu sedap gais. Have fun!