Tidak dinafikan, di era moden ni, semua informasi di hujung jari. Tetapi, ada perkara yang tidak boleh seratu peratus mengharap pada carian atas talian, terutama sekali yang berkaitan dengan nasihat kesihatan. Selain daripada doktor anda, ahli farmasi adalah hentian pertama yang boleh dipercayai untuk nasihat perubatan dan kesihatan am.
Bersempena dengan Hari Ahli Farmasi Sedunia, sudah sampai masanya kita menghargai serta mengiktiraf peranan ahli farmasi dalam sektor kesihatan.
“Ahli farmasi komuniti boleh membantu menguruskan penyakit ringan, memberi nasihat dan membantu untuk mendidik orang ramai tentang pelbagai aspek penyakit dan rawatan yang ada,” kata Dr. Wong Pei Se dari Fakulti Farmasi Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU). Ahli farmasi juga boleh membimbing pelanggan ke laluan perubatan yang betul sekiranya anda tidak pasti sama ada anda perlu berjumpa doktor, atau doktor mana yang anda perlu jumpa.
Kajian menunjukkan bahawa adanya perkhidmatan ahli farmasi dalam komuniti membawa kepada hasil perubatan dan penjagaan pesakit yang lebih baik. Mereka adalah pengantara sebelum seseorang mendapat serangan jantung atau serangan strok dan sebelum diabetes membawa kepada masalah buah pinggang. Ini adalah perkara-perkara yang boleh diuruskan di peringkat komuniti supaya orang ramai tidak perlu pergi ke hospital.
Salah satu peranan terbesar yang dimainkan ahli farmasi ialah menyokong kehidupan sihat dan penjagaan diri dalam komuniti dengan membantu orang ramai mencegah penyakit dan kekal sihat melalui nasihat kesihatan asas mengenai rejim senaman, pemakanan dan suplemen kesihatan.
Anda tidak perlu mendaftar atau membuat temujanji di farmasi. Perundingan adalah percuma dan anda hanya perlu bertanyakan beberapa soalan, atau jika anda tidak pasti tentang tahap keseriusan keadaan kesihatan anda.
Sebagai contoh, Dr. Wong berkata ramai yang mempunyai masalah kulit seperti jerawat tidak akan pergi berjumpa doktor terlebih dahulu. Mereka lebih cenderung untuk mencuba produk di farmasi terlebih dahulu dan jika ini gagal, barulah mereka akan berjumpa doktor. Dalam keadaan begini, ahli farmasi boleh membimbing pelanggan memilih penjagaan kulit yang ada, selain menasihati pelanggan seandainya keadaan mereka memerlukan mereka berjumpa doktor.
Sama seperti industri lain, farmasi turut berkembang bagi memenuhi keperluan masyarakat. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, platform digital telah diketengahkan. Pelanggan akan menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan nasihat serta memesan produk lebih awal untuk memudahkan pengambilan atau penghantaran. Trend ini berterusan walaupun selepas pandemik dan terus menyumbang kepada keselesaan pengguna.
Biarpun terdapat kekangan dalam perkhidmatan ahli farmasi, mereka memainkan peranan besar dalam mengembalikan penjagaan kesihatan ke tangan orang ramai, dan menyediakan akses mudah kepada maklumat yang boleh dipercayai. Jadi, apabila anda tergoda untuk menaip di Google mencari ‘petanda dan gejala’ dan cuba mendiagnosis diri sendiri, apa kata pergi sahaja berjumpa ahli farmasi kejiranan anda yang ramah-tamah itu?