Menurut laporan International Diabetes Federation (2014), kira-kira 497,000 orang kanak-kanak di seluruh dunia telah didiagnos dengan kencing manis (Jenis 1). Adakah anda risau anak anda mempunyai risiko kencing manis? Teruskan membaca.

Ramai ibu bapa yang berasa terkejut, tidak berdaya dan berputus asa apabila anak mereka disahkan menghidap diabetes. Tetapi menurut Perunding Endokrinologi Pediatrik di IMU Healthcare dan Pensyarah Kanan dalam Pediatrik di Universiti Perubatan Antarabangsa, Dr Meenal Mavinkurve,  kanak-kanak yang menghidap melitus diabetes boleh melakukan apa sahaja. Penyakit ini masih mampu dirawat dan diurus selagi ada kerjasama di antara keluarga dan perawat. 

Apakah melitus diabetes?

Melitus diabetes adalah keadaan di mana kurangnya insulin atau tindakannya berkurangan (rintangan insulin). Kedua-dua keadaan ini boleh membawa kepada paras glukosa yang tinggi dalam aliran darah.

Jenis melitus diabetes paling biasa di kalangan kanak-kanak adalah Jenis 1 (iaitu kekurangan insulin, atau T1DM) dan Jenis 2 (rintangan insulin, atau T2DM). T1DM adalah keadaan autoimun, di mana badan menghasilkan antibodi yang memusnahkan sel-sel beta di dalam pankreas. Sel-sel itulah yang bertanggungjawab menghasilkan insulin. Keadaan T2DM pula, badan masih boleh menghasilkan insulin, tetapi insulin kurang bertindak.  

Dr Meenal Mavinkurve

Gejala dan tanda diabetes

Gejala biasa adalah seperti selalu dahaga, kerap ke tandas, lebih kurus dan sering letih. Terlalu dahaga, banyak kencing, terjaga pada waktu malam untuk membuang air kecil atau kencing di katil pada waktu malam adalah gejala penting yang perlu diberi perhatian pada kanak-kanak, kerana ia mungkin isyarat diagnosis diabetes. 

“Sekiranya anda mendapati adanya gejala dan tanda-tanda itu, bersegeralah berjumpa doktor. Ibu bapa perlu bertanya kemungkinan adanya diabetes dan sama ada ujian glukosa dan keton perlu dilakukan,” nasihat Dr Meenal.

Awareness

Salah satu langkah penting yang boleh membawa kepada diagnosis diabetes lebih awal adalah kesedaran bahawa melitus diabetes adalah penyakit yang boleh dihidapi kanak-kanak juga dan pengenalan awal setiap gejala boleh membantu diagnosis dan rawatan awal.

Angka yang semakin meningkat 

Pada tahun 2019, Atlas Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF 9th ed, 2019) melaporkan 977 kes diabetes di kalangan kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun di Malaysia. Angka tersebut meningkat lebih dua kali ganda bagi kes yang didaftarkan pada tahun 2008 di bawah Pendaftaran Diabetes di kalangan Kanak-Kanak dan Remaja, Malaysia. Laporan akhbar The Star menyatakankan bahawa ia “mencadangkan secara puratanya, kira-kira 57 kanak-kanak disahkan menghidap diabetes setiap tahun (suggests on average, about 57 children are being diagnosed with diabetes each year).”  

Daripada kedua-dua jenis diabetes tersebut, yang paling biasa dihidapi kanak-kanak adalah Jenis 1 yang menyumbang lebih daripada 90 peratus kes melitus diabetes di seluruh dunia. Di Malaysia, purata umur diagnosis adalah antara tujuh hingga lapan tahun.

Di dalam kes diabetes Jenis 2, faktor risiko yang diketahui ialah obesiti dan ia semakin meningkat di Malaysia. Keadaan ini biasa dilihat dalam kumpulan umur remaja. “Walaupun wujud kaitan yang kuat antara obesiti dan T2DM, terdapat faktor lain yang turut mempengaruhi seperti sejarah keluarga dan latar belakang etnik,” jelas Dr Meenal.

Tangani Risiko

Diagnosis melitus diabetes, tidak kira T1DM atau T2DM, datang bersama risiko komplikasi termasuk tekanan darah tinggi, paras kolesterol tidak normal, penyakit hati berlemak bukan kerana alkohol dan kesan buruk pada buah pinggang, saraf dan mata. Kawalan glukosa secara optimum dan memastikan pematuhan adalah asas dalam mencegah komplikasi.

Mengurus Diabetes

Menguruskan diabetes kanak-kanak perlukan perkongsian di antara ibu bapa, kanak-kanak dan pasukan penjagaan kesihatan. “Kerjasama dan perkongsian umpama pelekat yang menyokong kanak-kanak untuk mencapai potensinya,” kata Dr Meenal.

Prinsip asas pengurusan T1DM adalah untuk meniru fungsi pankreas. Oleh itu, kanak-kanak dan ibu bapa perlu belajar bagaimana untuk memeriksa paras glukosa (menggunakan glucometer) beberapa kali sehari, selain perlu memahami keadaan yang boleh menyebabkan turun naiknya paras glukosa dan tindakan yang perlu diambil. Mereka perlu belajar tentang insulin yang berbeza-beza, cara menyuntiknya, berapa banyak yang perlu disuntik dan cara mengira karbohidrat dalam makanan. Umumnya, kanak-kanak dengan T1DM memerlukan insulin bersama semua makanan mereka dan insulin waktu malam yang bertindak lebih panjang. Rutin ini mungkin berbeza mengikut nasihat doktor tetapi rejim dengan beberapa suntikan harian  adalah yang terbaik untuk meniru fungsi pankreas. Bagi kanak-kanak penghidap T2DM, mereka juga perlu memahami mengenai ubat hipoglisemik oral yang diprekripsikan.

Menyokong anak diabetes

Sejurus disahkan menghidap T1DM, ada banyak tugasan baharu yang perlu dipelajari dan dilakukan untuk anak itu sepanjang hidupnya. Oleh itu, adalah penting bagi ibu bapa untuk beransur-ansur menyerahkan tanggungjawab penjagaan kendiri diabetes kepada anak mereka. Ini bagi membolehkan kanak-kanak itu berdikari, bertanggungjawab dan yakin dalam penjagaan kendiri diabetes mereka dari semasa ke semasa. Kanak-kanak penghidap diabetes masih boleh terlibat dalam penjagaan diabetes dengan melakukan perkara mudah seperti menyediakan barangan pemeriksaan glukosa dan seterusnya pemeriksaan glukosa tanpa pengawasan apabila sudah lebih berdikari. Kanak-kanak bersekolah juga perlu belajar cara menyuntik insulin sendiri. 

Diabetes dan diet

Menghidap diabetes bukan bermakna tidak boleh langsung mengambil benda manis dan bergula dalam diet. Semuanya mengenai kesederhanaan dan mengikuti diet sihat sama seperti kanak-kanak lain yang tidak menghidap diabetes. Namun begitu, kanak-kanak penghidap diabetes perlu mengira jumlah karbohidrat di dalam makanan manis yang mereka makan dan menyuntik insulin untuknya. Bagi kanak-kanak penghidap T2DM yang obes atau dengan berat berlebihan, perlu lebih penekanan kepada menghadkan pilihan makanan padat kalori. 

Ada jalan penyelesaian 

Kesedaran dan pendidikan mengenai diabetes kanak-kanak melalui sumber yang boleh dipercayai adalah penting. Apabila kanak-kanak disahkan menghidap melitus diabetes, pesakit dan keluarga boleh mendapatkan sokongan dari doktor mereka dan bekerjasama untuk memastikan kanak-kanak penghidap diabetes menikmati zaman kanak-kanak yang indah dan bernilai sama seperti kanak-kanak lain. 

 “Melitus diabetes boleh jadi satu keadaan yang kronik, tetapi ada jalan penyelesaiannya. Dengan jalan penyelesaian itu dan kerjasama, kita mampu membantu kanak-kanak penghidap diabetes untuk mencapai potensi yang sewajarnya.” 

Hidup dengan diabetes – sesuatu yang manis.