Perbuatan tercungap-cungap, semput atau sesak nafas adalah sesuatu yang lazim dihadapi oleh setiap individu apabila mengalami keletihan. Namun hakikatnya, ia juga mungkin menjadi petanda yang boleh menjurus kepada masalah yang lebih serius iaitu penyakit asma.

Asma atau semput merupakan keradangan pada paru-paru yang membengkak sehingga menyempitkan saluran pernafasan. Masalah keradangan saluran pernafasan yang kronik ini boleh menyebabkan penghidapnya menunjukkan gejala seperti sesak nafas, batuk, atau menghasilkan bunyi desitan (wheezing) yang kedengaran seperti siulan apabila sedang bernafas.

Dr Lim Eu Jack, Pakar Perunding Perubatan Kecemasan dari Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway menerangkan bahawa asma tidak tergolong dalam penyakit kongenital atau bawaan sejak lahir kerana seseorang boleh mendapat penyakit tersebut apabila semakin bertambah usia.

“Serangan asma boleh berlaku kepada seseorang seawal usia kanak-kanak atau remaja, malah ia juga boleh terjadi kepada golongan dewasa. Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai sejarah keluarga dengan asma atau mempunyai alergi rhinitis, ekzema ataupun dikenali sebagai atopik lebih berisiko untuk mendapat asma dalam sepanjang hayat mereka,” ujarnya.

Selain genetik, terdapat juga jenis asma yang boleh dikelaskan mengikut faktor rangsangan lain, antaranya:

  • Alergi contohnya terhadap debunga atau bulu haiwan.
  • Persekitaran seperti cuaca yang terlampau sejuk, pencemaran udara dengan habuk dan asap, atau jangkitan.
  • Pekerjaan. Sebagai contoh, terdedah terlalu lama di tempat kerja dengan bahan perengsa yang boleh disedut seperti asap, bahan kimia, debu atau sisa produk, misalnya habuk kayu atau serbuk besi.
  • Senaman yang terlalu intensif sehingga melelahkan.
  • Jangkitan pernafasan
  • Sewaktu kehamilan yang mungkin boleh dipulihkan selepas melahirkan anak.

Faktor risiko

Sekiranya terdedah kepada faktor pencetus tertentu, seseorang yang berisiko mungkin menunjukkan simptom serangan asma seperti kesukaran bernafas, batuk berkahak, berdesit, bibir menjadi kebiruan atau jika lebih teruk boleh menyebabkan pitam. Bagi mendiagnos asma dan membezakannya daripada keletihan biasa, pakar respiratori boleh mengenal pasti asma melalui kaedah ujian spirometri ke atas pesakit dengan menilai fungsi paru-paru dan memeriksa kesihatan saluran pernafasan mereka. 

Selain itu, seseorang itu juga perlu mengetahui latar belakang dan tahap kesihatan mereka dan keluarga bagi memastikan tiada ‘kejutan’ luar jangka berlaku terutama apabila melakukan aktiviti senaman kardiovaskular.

Rawatan

Perkara pertama yang perlu dilakukan untuk mengubati asma adalah dengan menjauhi faktor yang boleh mencetuskan serangan. Sekiranya seseorang pesakit itu merokok, maka ia perlu dihentikan.

Menurut garis panduan yang dikeluarkan oleh Inisiatif Global untuk Asma (GINA) iaitu sebuah badan yang ditubuhkan dengan kerjasama Institut Jantung, Paru-paru dan Darah Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) serta Institut Kesihatan Kebangsaan AS bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), asma tidak boleh disembuhkan tetapi gejalanya boleh dikawal sepenuhnya dengan rawatan yang tepat dan pencegahan yang betul. 

Terdapat dua jenis ubat-ubatan untuk penghidap asma iaitu:

  • Ubat pencegah untuk kawalan asma yang berterusan. Ubat jenis ini perlu diambil secara konsisten mengikut ketetapan masa yang telah ditetapkan biarpun sewaktu tidak bergejala.
  • Ubat pemulih diambil untuk meredakan gejala apabila serangan asma berlaku. 

Penggunaan alat sedut (inhaler) merupakan kaedah yang berkesan untuk kedua-dua jenis ubatan ini. Alat sedut pemulih biasanya didapati dalam warna biru yang mengandungi ubat bernama Salbutamol ataupun Ventolin. Manakala, alat sedut pencegah pula biasanya berwarna jingga atau coklat dengan kandungan kortikosteroid dan berfungsi untuk mengurangkan keradangan pada saluran pernafasan. 

Tambah Dr Jack, serangan asma yang tidak dirawat atau dikawal dengan segera berisiko mengancam nyawa pesakit terutama jika mengalami status asmatikus iaitu keadaan asma parah dan akut yang terjadi secara tiba-tiba atau berlangsung terlalu lama sehingga menyebabkan aliran udara ke paru-paru tidak mencukupi. Ia juga boleh mengundang terjadinya hipoksemia iaitu kekurangan oksigen dalam darah.

Asma tidak akan secara langsung menyebabkan sistem imun menjadi lemah, tetapi asma yang tidak terkawal boleh menyebabkan fungsi paru-paru terjejas dari semasa ke semasa, yang mungkin melemahkan sistem imun tubuh dan meningkatkan risiko untuk mendapat jangkitan. Penyakit asma bukan penyakit yang berjangkit.

Pencegahan

Amalkan gaya hidup sihat serta menjauhi faktor pencetus gejala bagi mengurangkan risiko mendapat serangan asma. Penghidap asma masih boleh bersenam sekiranya dilakukan bersesuaian dengan keadaan. Paling penting, mulakan dengan aktiviti regangan pemanas badan terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang senaman.

Amalkan juga diet seimbang dan pengambilan makanan yang kaya dengan antioksidan, vitamin D dan minyak omega 3 seperti ikan salmon, biji chia atau biji rami untuk menambahbaik kualiti kesihatan secara keseluruhan.