Dalam hubungan suami isteri, adakalanya rasa cinta yang mula-mula timbul semasa zaman hangat bercinta itu sudah mulai hilang. SW yakin ramai antara kita yang mengalami perkara trsebut namun tidak tahu bagaimana untuk diungkapkan serta apakah langkah terbaik untuk masih menyemarakkan lagi rasa cinta terhadap pasangan lebih-lebih lagi apabila sudah begitu lama bersama.
Di sini, kami kongsikan tips buat wanita-wanita di luar sana yang mahu merasakan hangatnya percintaan.
– Bersikap realistik
Langkah pertama ialah dengan bersikap realistik iaitu dengan menerima bahawa kehidupan berumahtangga sememangnya akan mengalami perubahan daripada segi perasaan cinta terhadap pasangan. Ia tidak akan hangat dan tidak mampu menjadi sehangat sewaktu zaman mula-mula bercinta dan its completely normal. Jangan panik atau pun rasa tertekan. Hadapilah perubahan tersebut dengan terbuka dan positif. Hanya kerana pasangan tidak lagi seromantis atau bersungguh-sungguh seperti dahulu tidak bermakna si dia tidak mencintai kamu!
– Ambil tahu tentang perasaan pasangan
Lihat semula pasangan anda dan tanya kepada diri anda, adakah perasaan mula hilang kerana anda sudah lagi tidak ambil tahu tentang kehidupan masing-masing? Adakalanya, perkahwinan menjadikan kita semakin menjauhi daripada hidup pasangan walaupun tinggal sebumbung. Oleh itu, tanyalah tentang hari pasangan anda dan juga kongsikan apa sahaja yang mengganggu minda anda kepadanya supaya dia juga tahu apa yang anda sedang alami. Hubungan kalian boleh terjalin rapat kembali.
– Utamakan hubungan
Apabila hubungan sudah lama, kita cenderung untuk hilang rasa excitement dan juga rasa fresh dalam bercinta. Iyalah, kalau dulu rasa tak sabar nak jumpa si dia, kini perasaan jadi hambar dan dah tak rasa excited nak dating. Puncanya adalah kerana tidak lagi meletakkan hubungan sebagai keutamaan. Oleh itu, biarpun hubungan anda sudah terjalin lama, tetaplah letak hubungan percintaan atau pernikahan sebagai keutamaan dalam hidup.
– Kenali pasangan dengan lebih mendalam
Pakar perhubungan dari UK, Katherine Woodward Thomas memberitahu, antara punca yang menghilangkan rasa cinta ialah rejection. Rejection dalam konteks ini bermaksud penolakan yang dibuat tanpa sengaja apabila pasangan sedang dalam masalah. Contoh situasi, pasangan anda sedang menghadapi masalah di tempat kerja dan memerlukan anda untuk mententeramkan hatinya. Sebaliknya, anda pula terlalu sibuk dengan hal lain dan akhirnya mengabaikannya. Hal tersebut menyebabkan kekecewaan dan si dia berjauh hati.
– Bersikap terbuka dan sering berbincang
Dalam apa jua perhubungan, komunikasi amat penting dan ia boleh menyelesaikan banyak masalah. Ambil sedikit masa untuk diluangkan bersama pasangan dan berbincanglah tentang pelbagai isu-isu sama ada formal atau isu yang ringan. Ambil tahu tentang keperluan pasangan sama ada daripada segi emosi, fizikal atau pun kedua-duanya.
– Segera selesaikan masalah
Apa pun masalah yang terjadi dalam perhubungan, segeralah berbincang dan diselesaikan. Jika semakin lama dipendam, ia akan menimbulkan lebih banyak pertengkaran kelak. Contohnya, apabila anda sakit hati atau pun terasa hati dengan apa yang diungkapkan pasangan, segeralah beritahu kepadanya. Jangan nanti sedang bergaduh, tiba-tiba kisah 3 tahun lepas nak diungkit semula dalam pergaduhan. Memang bertambah panaslah jawabnya pergaduhan itu! Sentiasa cari masa sesuai untuk bincangkan dan selesaikan masalah.