Saya tak kisah isteri jaga seorang anak.. tapi saya nak jaga yang lagi seorang tu. Saya tak boleh hidup kalau tiada anak tu.. lagipun saya tak mampu  kalau isteri nak tuntut.

“Kenapa lama sangat?” tanya saya macam tak percaya. Kesian sebab dia masih muda. sanggup biarkan masa mudanya terbazir begitu sahaja terperangkap dalam neraka dunia rumahtangga.

‘Entahlah Puan. Saya dah malas nak fikir. Saya dah penat turun naik pejabat agama. Kat luar dia setuju nak ceraikan saya. Bila dah kat pejabat agama, dia pusing cerita dan akhirnya tak jadi nak ceraikan saya.. dah berapa kali macam tu..” wajahnya sugul tak bermaya.

Aduhai. Kalau nak bercerai pergilah mohon di Mahkamah Syariah. Pejabat agama hanya tempat untuk kaunseling dan mendapatkan nasihat.

Dah 12 tahun tak duduk sebumbung sejak lahirkan anak kedua. Suami tak ceraikan sebab keluarga mertua tak bagi. Alasannya sebab isteri banyak berkhidmat kepada keluarga mertua. Suami dihasut jangan ceraikan isteri walau apa jadi. Suami isteri hanya atas sijil nikah tapi dah lama bawa haluan masing-masing.

Puas keluarga si isteri pujuk untuk mohon cerai dan mulakan hidup baru. Apa tidaknya, dia masih muda. ada rupa ada kerjaya. Beberapa lamaran terpaksa ditolak hanya kerana statusnya yang amsih tergantung. Hidupnya hanya untuk kerja dan anak. Dah tak fikir untuk cari bahagia untuk diri sendiri. Akhirnya si bapa nekad bawa anak perempuannya yang dah macam hilang semangat berjumpa dengan peguam.

Kes ini kuat untuk fasakh tapi saya failkan kes cerai baik sebab suaminya masih boleh dicari. Berbagai usaha kami buat. Telefon tak berangkat. Whatsapp hanya blue tick. Dua kali buat serahan ke alamat tempat tinggal suami secara serahan tangan tapi dia tiada. Akhirnya terpaksa tinggalkan dokumen di alamat rumahnya. Kami ambil gambar dokumen yang ditinggalkan di hadapan rumah sebagai bukti dan teruskan dengan affidavit penampalan.

Setelah tiga kali sebutan suami tidak hadir ke mahkamah, mahkamah keluarkan waran tangkap. Ye. Bila dah dapat waran tangkap sepatutnya mudah kerja peguam. Bagi sahaja kepada pegawai penguatkuasa dan tunggu sahaja di hari bicara. Mereka yang akan bawa suami ke mahkamah.

Tapi tak semudah itu. Bagaimana jika suami tiada di alamat berikut? Pegawai penguatkuasa hanya boleh tangkap di alamat tersebut sahaja. Jika suami tiada maka kes hanya akan tangguh dan tangguh lagi. Ahh.. saya kena fikirkan sesuatu dan tak boleh bergantung pada waran tangkap sahaja. Penat saya perah otak. Mohon diberi jalan penyelesaian kes anak guam saya ini.

“Puan yakin bahawa doa orang yang teraniaya tu Allah akan makbulkan?” tanya saya pada dia. Dia mengangguk. Saya terus sarankan apa plan saya pada dia dan dia hanya mengikut.

“Bagi kata dua pada dia… nak datang sendiri ke mahkamah secara terhormat atau nak datang dengan polis sambil tangan bergari macam penjenayah,” saya suruh dia whatsapp gambar waran tangkap tu pada suami. Perang psikologi dilancarkan.

“Puan dia diam je tiada sebarang feedback pun,” Ya Allah saya macam tak tentu arah sebab waran tangkap tu saya tak serah lagi pada pegawai penguatkuasa. Ini percubaan saya untuk selesaikan secara baik. Taknak suami tu malu. Kalau dia tak datang juga bermakna kes terpaksa tangguh lagi dan saya tiada pilihan selain terpaksa juga serahkan warna tangkap kepada pihak penguatkuasaan.

“Tak apa.. Kita dah cuba kan. Puan doalah banyak-banyak supaya hati dia lembut. InshaAllah doa orang yang teraniaya Allah akan dengar”. Kami sama-sama tawakal.

Pada hari bicara, si isteri datang ditemani bapanya. Apa natijah pada hari ini saya serahkan sahaja pada Allah. Saya dah habis berusaha sedaya yang mampu. Dan tanpa disangka.. si suami juga datang!

“Kamu setuju nak ceraikan isteri kamu?” tanya hakim di dewan bicara.

“Setuju tuan.. tapi.. tapi..” macam ada sesuatu yang dia nak sampaikan. Saya dah berdebar. Janganlah dia ubah fikiran seperti yang selalu diceritakan oleh isterinya.

“saya tak kisah isteri jaga seorang anak.. tapi saya nak jaga yang lagi seorang tu. Saya tak boleh hidup kalau tiada anak tu.. lagipun saya tak mampu kalau isteri nak tuntut”. Oh saya dah faham. Kenapa dia berat sangat nak lepaskan isteri dia.

“Yang Arif.. Plaintif tak nak tuntut apa-apa. Dia hanya mohon nak dilepaskan secara baik sahaja pada hari ini. Berkenaan hak jagaan anak, plaintif juga tiada masalah untuk berkongsi hak jagaan dengan defendan,”

Hakim mengarahkan kedua-dua pihak bersalaman dan bermaafan buat kali terakhir sebelum prosiding cerai diteruskan. Buat kali pertama setalah 12 tahun tak ‘bersama’ si isteri bersalam sambil mencium tangan suami. Air mata tak usah cakaplah. Si suami pun mata dah merah sambil mengusap kepala isteri dan berbisik. “saya minta maaf!”. Di saat si suami melafazkan talak satu di hadapan hakim, sayalah orang yan paling lega mengalahkan isteri yang dah 12 tahun digantung tak bertali!

“Terima kasih puan! Terima kasih puan!”

Basah air mata si isteri sambil kami berpelukan meraikan kebebasan yang dia dapat pada hari ini. Si suami pula bersalaman dengan bapa mertua dan berpelukan sambil masing-masing mengalirkan airmata. Ya Allah memang pemandangan yang sangat indah. Seolah dendam kesumat selama 12 tahun selama ini terlerai hanya dalam satu hari. Happy ending! Apalagi nak ucap selain alhamdulillah!

Begitulah kisah hero yang tak didendang. Suami tulah kot yang heronya. Peguam mana yang pernah diangkap sebagai hero. Kami ni dah biasa dituduh dengan bermaca-macam tuduhan. Loyar tak buat kerja, pelahap duit dan sebagainya.

Sumber: Baituljannah.com