Kalau rasa diri tak sedia untuk berkorban, cuba elak dari perkahwinan jarak jauh atau cari penyelesaian sebelum nikah.
Pada yang tak rasa memang tak faham rasanya bila suami terpaksa berjauhan kerana kekangan jarak dan masa. Soalan yang kerap orang tanya kat aku, kenapa tak berhenti kerja je dan pindah ikut suami? Nampak simple tapi pada yang kena hadap situasi ni macam aku, ia tak semudah itu.
Siapa je yang nak hidup rumahtangganya tak normal macam orang lain. Boleh jumpa hari-hari, tidur sama, makan sama dan lakukan segalanya bersama. Aku mula-mula kahwin dulu pun mendambakan semua tu, tapi kita hanya mampu merancang.
3 tahun dalam perkahwinan jarak jauh, aku tewas.
Sebelum aku dan Kamal bernikah, kami dah banyak kali bincang pasal kerjaya dan hubungan selepas berkahwin. Aku di Melaka dan dia di Johor. Apa yang kami persetujui lepas nikah adalah untuk beri tempoh setahun sebelum aku atau dia cuba untuk mencari pekerjaan baru supaya kami dapat memulakan rumahtangga.
Awal perhubungan kami memang sukar. Maklumlah bila pasangan takde dekat dengan kita. Perasannya bercampur-baur. Bila tak nampak rindu, bila rindu sangat mulalah jadi rungsing. Emosi pun tak stabil bila hati mula main perasaan cemburu. Kadang-kadang dalam telefon pun boleh bergaduh. Benda kecik boleh jadi rajuk berhari-hari. Biasanya Kamal yang akan pulang ke Melaka untuk jumpa dengan aku. Mula-mula 2 minggu sekali, lama-lama makin berkurangan. Aku paham. Tuntutan kerja kami memang begitu.
Setahun akhirnya sampai dan tiada satu pun antara aku dan Kamal yang bersedia untuk melepaskan kerjaya masing-masing. Masa tu aku pertama kali kitorang perang besar. Mungkin kerana kami masih muda dan keras kepala. Ego masing-masing buat kami sukar mencari damai. Ramai yang nasihatkan aku supaya beralah. Mak aku sendiri cadangkan benda yang sama. Alasan aku masa tu satu jer, kalau aku berhenti, Kamal belum tentu mampu nak sara aku dan keluarga.
Pendapatan aku memang lebih besar dari Kamal, itu yang buat aku berat untuk lepaskan kerjaya. Selama aku berkahwin pun, Kamal bukan jenis yang konsisten bagi duit belanja. Aku paham dia kena sewa rumah dan tolong keluarganya. Aku pulak jenis tak kisah kalau dia tak bagi belanja pun. Dalam kepala aku ni selalu pikir aku masih mampu tanggung diri sendiri.
Mungkin dari situlah masalah bermula. Makin lama aku mula rasa bosan. Ada suami macam takde suami. Zahir dan batin. Aku jadi terbiasa hidup tanpa pasangan disisi. Aku mula seronok sendirian. Jangan salah anggap, aku takde scandal lain pun! Cuma bila Kamal balik ke Melaka untuk bersama kau, aku rasa rimas. Ada je benda yang aku nak bebel bagi dia panas hati. Kamal ni pulak jenis anak manja, berat tulang sikit. Bila dengan aku, dia nak perhatian macam anak kecik. Aku tahu dia mengharap kasih sayang isteri, tapi kerana kami jarang bersama aku rasa janggal sedikit. Ada jugak kadang-kadang aku rasa Kamal tu macam housemate je, bukan suami.
Kalau mula-mula perkahwinan dulu kami kerap berskype atau video call, sekarang dah makin kurang. Mesej pun kadang-kadang blue tick je…2-3 jam lepas tu baru balas. Kami dah kurang bergaduh, sebab jarang bercakap. Masing-masing makin selesa sendiri.
Masuk tahun ketiga aku ambik keputusan untuk betul-betul berbincang dengan Kamal tentang halatuju perkahwinan kami. Masa tu dalam kepala otak aku sebenarnya dah ada keputusan, cuma nak dengar apa pula pendirian Kamal. Aku masih ingat masa itu adalah pertama kali kami ambil cuti dan melancong bersama. Surprise gift dari Kamal.
Tapi semua tu tak dapat menyelamatkan rumahtangga aku dan Kamal. Perkahwinan kami yang masih bertatih terputus di tengah jalan. Kami ambil keputusan berpisah sebelum keadaan jadi lagi teruk. Cuba selamatkan perkahwinan? Bagi aku dan Kamal, keserasian antara kami dah tiada. Kami berdua setuju, tak berbaloi untuk mempertahankan sesuatu yang kami berdua dah tak rasa lagi. Lagipun aku tak nak nanti dah beranak pinak baru nak menyesal. Aku dan Kamal lebih bahagia sendiri daripada bersama.
Aku tahu ramai kat luar sana yang terpaksa berdepan dengan banyak cabaran kerana perkahwinan jarak jauh. Nasihat aku cuma semoga korang kuat. Sabar, percaya dan saling memahami tu sangat penting dalam menjayakan hubungan rumahtangga yang terpisah ni. Perkahwinan yang sebegini bukan untuk aku.