Si bulus memang terkenal sebagai haiwan kesayangan ramai. Menjadi peneman ketika senang dan susah, ramai yang berkongsikan kegembiraan melihat keletah mereka yang kelakar di laman media sosial.
Namun selepas PKP, Persatuan Haiwan Malaysia (SAFM) menerusi maklumat daripada Pemberi Makan Haiwan Jalanan mendapati jumlah haiwan peliharaan yang dibuang dalam tempoh tersebut telah meningkat sehingga 3 kali ganda.
Tahukah korang sebenarnya perbuatan membuang haiwan peliharaan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang mana jika tertangkap boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun dan denda bermula RM10,000 hingga RM100,000?
Ini kerana jelas perbuatan tidak bertanggungjawab membuang haiwan peliharaan menandakan si pemilik sudah mengabaikan 5 aspek kebajikan mereka antaranya keperluan keselamatan dan makanan.
Satu rakaman pernah viral di media sosial berkenaan dengan isu pembuangan haiwan ini.
Dalam rakaman tersebut, seorang wanita didapati telah membuang 2 ekor kucing yang dipercayai miliknya di tepi jalan dengan alasan anaknya menghadapi masalah kesihatan dan beliau gagal mencari pemilik baru untuk mereka.
Konklusinya senang je, rasa tak mampu jaga dari awal lagi jangan ada niat nak jaga. Kucing pun ada perasaan juga. Cuba kalau kita dekat tempat kucing tu kena buang, apa rasanya?