Dalam keadaan ekonomi yang tak menentu sekarang, sis Yana rasa ramai yang dah mula bawa bekal bila ke ofis. Kalau dulu sikit-sikit Foodpanda dan Grab, kali ini ramai yang dah mula sedar pentingnya untuk berjimat.

Untuk yang dah ada family mungkin bolehlah dapatkan idea nak masak apa. Tapi kalau yang bujang ni, bila makan sorang memang tak rajin sangat nak lama-lama dekat dapur. Setuju tak? Sebab itulah ramai je yang pilih untuk tapao.

Untuk yang tak tahu nak masak apa, ni sis kasi 5 idea set bekal yang boleh korang cuba.

1. Nasi putih + tomyam campur

Kredit: TheVocket

Tomyam memang menu paling senang sis cakap. Korang campak je semua bahan dalam kuali lepas tu tunggu mendidih dah siap. Mudah kan?

Bahan-bahannya:

  • Ayam/ Udang/ Daging/ Sotong
  • Pes tomyam
  • 1 biji bawang besar/ Holland
  • 1 inci halia dihiris
  • 2 batang serai diketuk
  • 5 helai daun limau purut
  • Cili api (ikut tahap kepedasan)
  • Garam dan gula
  • Air
  • Tomato, lobak, cendawan (sayur kegemaran anda)

Cara penyediaannya:

  1. Masukkan semua bahan kecuali sayur, sotong atau udang dalam periuk.
  2. Lepas dah mendidih masukkan sayur, sotong dan udang. Biarkan kejap dan tutup api selepas dah perasakan dengan garam dan gula.

2. Nasi putih + ikan singgang 

Kredit: Side Title

Kombinasi ikan singgang dengan nasi putih panas memang sedap. Kalau korang tak percaya bolehlah cuba. Memang power!

Bahan-bahan:

  • 5 potong ikan tongkol
  • 1 inci lengkuas – dihiris nipis
  • 1 inci kunyit hidup – dihiris nipis
  • 3 ulas bawang merah – dihiris nipis
  • 2 ulas bawang putih – dihiris nipis
  • 2-3 keping asam gelugor
  • 3-4 biji cili padi – diketuk (boleh tambah cili padi jika suka pedas)
  • 5 batang bendi
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Perasa (Boleh tambah jika suka)
  • Air secukupnya

Cara-cara:

  1. Masukkan air secukupnya ke dalam periuk.
  2. Bila air dah mendidih, masukkan bahan-bahan yang korang dah hiris nipis dan serbuk kunyit.
  3. Kacau dan masukkan ikan tongkol, asam gelugor, cili padi dan bendi.
  4. Akhir sekali, masukkan garam dan gula secukupnya. Kacau sebati dan boleh tutup api.

3. Nasi putih + Telur dadar + Sup kosong

Set menu ni memang set paling popular. Kalau dekat kedai minta set nasi bujang, biasanya ini yang korang akan dapat.

Cara penyediaan sup kosong:

  1. Tumis bawang merah yang dah dikisar dengan kayu manis dan bunga cengkih.
  2. Masukkan sedikit ayam atau tulang ayam dan perasakan dengan sup bunjut atau garam.

4. Nasi putih + sayur campur berlauk

Kalau tak rasa nak makan menu berlauk, bolehlah cuba untuk masak bekal lauk sayur campur. Resepinya sangatlah mudah.

Cara penyediaan sayur campur:

  1. Tumis bawang merah, bawang putih dan cili merah.
  2. Bila dah agak-agak naik bau masukkan ayam/sotong/daging/udang yang dah dipotong kecil dan sayur yang keras terlebih dahulu seperti lobak, bunga kobis dan brokoli. Masukkan air sikit dan biarkan seketika.
  3. Masukkan sayur berdaun dan perasakan dengan garam. Nak lagi sedap masukkan kicap manis dan sos tiram.

5. Nasi putih + ikan/ayam/daging goreng + Sambal

Kredit: Tokopedia

Gabungan lauk goreng dengan sambal memang sedap. Lagi-lagi bila makan dengan nasi putih panas-panas. Tak pandang kiri kanan dah weh! Senang dan sedap. Tu je yang penting dalam makanan orang bujang ni.

Contoh sambal yang boleh korang buat banyak-banyak dan simpan stok:

Kena goreng dulu:

  • 30 biji cili padi merah
  • 12 biji cili merah (dipotong)
  • 4 biji tomato (dipotong)
  • 5 biji bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 inci belacan (dibakar)

Bahan lain:

  • Sedikit air asam jawa
  • Gula
  • Garam

Cara-caranya:

  1. Tumbuk atau kisarkan semua bahan di atas.
  2. Masuk semua bahan ke dalam kuali dan goreng sehingga naik minyak.
  3. Campurkan belacan dan sedikit air asam jawa bersama gula dan garam secukup rasa.
  4. Sejukkan Sambal Ayam Penyet terlebih dahulu sebelum disimpan ke dalam bekas.

Jangan lupa untuk cuba tau. Nanti kasi feedback dekat sis. Selamat mencuba!