Pencarian Wanita Melayu 2022 anjuran Plaza Shah Alam kini sudah menutup tirai pada 13 Ogos, Sabtu lepas. Sekalung tahniah sis ucapkan buat Aqila Afindi, yang telah membawa pulang “title” Ikon Wanita Melayu 2022 menewaskan sembilan lagi finalis yang lain. Dengar cerita hadiah bukan biasa-biasa tau, wang tunai bernilai RM10,000 daripada pihak Plaza Shah Alam. Ditambah lagi dengan hadiah sumbangan daripada penaja-penaja terlibat.

Tempat kedua dimenangi oleh Nur Athiya Hazirah manakala Siti Aisyah mendapat tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 dan RM3,000 serta hadiah sumbangan daripada penaja-penaja.

Aik belum habis lagi. Gelaran Miss Personality dimilik oleh Sabrina Nizam, serta Miss Photogenic dihadiahkan kepada Nur Diana Sri Tunteja. Mereka menerima wang tunai bernilai RM1,000 daripada Plaza Shah Alam diiringi dengan hadiah tajaan para penaja.

Majlis yang penuh meriah telah diacarakan oleh pelakon terkenal, Fahrin Ahmad ditemani Amy Nurtinie yang merupakan bekas Ikon Wanita Melayu 2018. Juri profesional yang terlibat adalah Selebriti Mas Idayu, Aktres Vanidah Imran, Encik Faizal Hamis (Pensyarah Fesyen UiTM), Kiffy Razak (Pengarang Urusan majalah NONA), dan Puan Azura Mokhtar (Pengurus Kanan Plaza Shah Alam). Apa-apa pun sis nak ucapkan tahniah kepada semua, semoga maju jaya dalam apa jua yang dilakukan!