Media sosial menjadi kecoh selepas seorang model dan juga pempengaruh (influencer) dari Hong Kong, Abby Choi, 28 tahun yang baru sahaja muncul di muka depan digital majalah fesyen L’Officiel Monaco sebelum beliau dilaporkan hilang pada hari Rabu minggu lalu selepas tidak mengambil anak perempuannya.

Kes ini mendapat perhatian ramai susulan daripada polis menerima laporan yang mengatakan beliau hilang sebelum mayat tanpa kepala ditemukan di dalam sebuah peti sejuk di sebuah rumah kampung yang menjadi tapak penyembelihan pada Jumaat minggu lalu. 

Sebelum kehilangannya itu, Abby kali terakhir dilihat oleh abang bekas suaminya, yang juga merupakan pemandunya. Pembunuhan yang disifatkan sebagai terancang itu terbongkar apabila polis menemui mayat Abby. Polis percaya ia dirancang oleh bekas bapa mentua Choi yang merupakan bekas pegawai.

Rumah tersebut yang baru disewa baru-baru ini tidak dilengkapi perabot, tetapi dilengkapi dengan gergaji elektrik dan pengisar daging dipercayai telah digunakan untuk mengisar daging manusia, selain daripada dua buah periuk rebusan yang dipercayai mengandungi tisu manusia turut ditemui ditinggalkan di rumah kampung berkenaan. 

Video: TVB USA Official

Bagaimanapun polis pada ketika itu sedang mencari kepala, sebahagian badan dan tangan yang dipercayai sudah dilupuskan sebelum yang terkini kepalanya dikatakan ditemui dalam salah satu periuk sup yang ditemui.

Periuk bersaiz 50cm dalam dan diameter 40cm yang dibawa ke bilik mayat kemudian diteliti pihak forensik membawa kepada penemuan daging yang dipercayai daging manusia, lemak tebal serta beberapa lobak merah hijau dan oren.

Manakala tulang manusia ditemui di dalam periuk yang lebih kecil. Ketika ini ujian DNA dan rekod pergigian akan digunakan untuk menentukan sama ada ia adalah milik Abby atau pun tidak. Badan lain yang hilang masih lagi dicari.

Bekas bapa dan ibu mentua Abby selain daripada bekas abang iparnya ditahan, namun bekas suaminya ditahan beberapa jam kemudian di kawasan pantai Tung Chung, berkemungkinan sedang menunggu bot laju bagi melarikan diri dari bandar secara haram. Malah kekasih bekas bapa mentuanya juga ditahan dan didakwa membantu suspek untuk mengelak daripada polis.

Motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada pertikaian dan perbalahan mengenai harta Abby di mana dipercayai seseorang tidak berpuas hati dengan cara Abby mengendalikan asetnya. Seseorang itu dipercayai daripada keluarga bekas suaminya dan bekas suaminya.

Pada ketika ini, pihak berkuasa menjelaskan siasatan menjadi sukar kerana suspek enggan memberikan kerjasama dalam memberikan maklumat. “Kami ingin tahu sebanyak yang boleh, bukan sekadar untuk menyabitkan kesalahan pada pembunuh tetapi juga memberi jawapan kepada keluarga si mati dan mengembalikan keadilan kepada si mati.”