Menjelang bulan Ramadan, akan ada beberapa pertanyaan yang sering kali menjadi persoalan di media sosial. Jom kita tengok 10 soalan yang sering menjadi persoalan di bulan puasa ini. Sama-sama kita ulangkaji supaya tidak lagi terkeliru.

1. Adakah lipstik membatalkan puasa?

Tidak, tetapi jika ditelan (memasuki rongga), rasa yang terdapat pada lipstik tersebut boleh membatalkan puasa.

2. Apakah hukum mandi wajib selepas masuk waktu subuh?

Melewatkan mandi janabah selepas ‘bersama’ isteri pada malam hari bulan Ramadan sehingga terbitnya fajar tak menghalang sahnya puasa, sebaliknya makruh.

3. Apakah hukum memilih masjid untuk bersolat tarawih?

Jika ia dengan tujuan menambah kekhusyukan melalui bacaan imam yang merdu dan suasana masjid yang selesa adalah dibolehkan.

4. Apakah hukum menggunakan Eye-mo ketika berpuasa?

Mata bukanlah ruang terbuka, ia tidak membatalkan puasa kerana tidak mengenyangkan dan menghilangkan dahaga sama seperti memakai celak. Sebaliknya ia adalah keperluan untuk kesihatan.

5. Apakah hukum berbekam dan menderma darah ketika berpuasa?

Hukum berkenaan dengan berbekam ketika berpuasa adalah asal kepada kias bagi hukum menderma darah dan mengambil ujian darah. Ia adalah harus dan tidak membatalkan puasa secara umum. Sekiranya ia boleh melemahkan tubuh badan seseorang, maka ia adalah makruh.

6. Niat puasa setiap malam atau sebulan sekaligus?

Para ulama telah terbahagi kepada dua pendapat iaitu boleh diniatkan terus sebulan berpuasa dan perlu perbaharui niat pada setiap malam. Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri menyimpulkan, boleh berniat sekaligus selama sebulan di permulaan niat sebagai langkah berjaga-jaga. Dan hendaklah juga seseorang itu juga berniat pada setiap malam.

7.  Apakah hukum tersalah berbuka awal kerana azan di radio?

Terdapat dua pendapat iaitu satu tidak batal dan satu lagi batal dan wajib qadha. Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri menyimpulkan, batal puasanya dan wajib bagi mereka yang tersalah berbuka awal sedangkan matahari belum tenggelam dan hendaklah diqada.

8. Adakah masuk waktu imsak bermulanya puasa?

Waktu imsak yang merupakan 10 minit sebelum masuknya waktu subuh adalah secara asasnya untuk berjaga-jaga supaya tidak makan melebihi waktu yang boleh membatalkan puasa. Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri menyimpulkan, waktu imsak bukannya waktu bermula puasa dan dibolehkan lagi untuk makan dan minum. Cuma sekiranya telah kedengaran seperti azan, maka hendaklah berhenti serta merta dan sempurnakan puasa.

9. Apakah hukum mencabut gigi pada siang hari bulan puasa? 

Mencabut gigi di siang hari bulan puasa tidak membatalkan puasa. Seeloknya cabutlah pada waktu malam hari kecuali kerana keperluan.

10. Hukum puasa 6 Syawal disekalikan dengan qadha puasa?

Khilaf para ulama kepada dua pendapat iaitu sah dan tidak sah. Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri menyimpulkan, bahawa beliau lebih cenderung kepada pendapat yang membolehkannya kerana ia merupakan jenis ibadah yang sama cuma dengan dua niat.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan via Rahmat Ikhsan

Kredit gambar utama: Rauf Alvi via unsplash.com