Ini Sebab Kenapa Pelakon Girl Crush Dalam Drama Netflix ‘Bloodhounds’ Kena Cancel Di Korea Selatan

Menduduki carta tiga teratas dalam Netflix Global, drama ‘Bloodhounds’ menyusul sebagai K-Drama yang menjadi sebutan dunia. 

Penuh dengan aksi, drama lakonan Woo Do Hwan dan Lee Sang Yi sebagai peranan utama ini mengisahkan mengenai Gun-woo, seorang petinju yang memiliki masa depan yang cerah dalam arena sukan ini. Namun, kerana ibunya terjerat dalam sindiket licik ahlong, Gun-woo terpaksa melakukan sesuatu demi membela nasib ibunya dan orang-orang yang teraniaya.

Banyak yang menarik dalam K-Drama ini. Selain daripada aksi bela diri yang intense, drama ini juga menampilkan pelakon yang pernah terlibat dalam kontroversi memandu dalam keadaan mabuk iaitu Kim Sae Ron yang memegang peranan sebagai Cha Hyun Joo, pewaris kekayaan empayar Choi Tae-ho.

Pada Mei 2021, Kim Sae Ron telah melakukan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kerosakan awam di Gangnam. Kereta yang dipandunya merempuh penghadang jalan, lampu isyarat dan tiang elektrik di Gangnam menyebabkan banyak kedai mengalami gangguan bekalan elektrik.

Dalam pemeriksaan, paras alkohol dalam darah beliau adalah lebih 0.2% yang mana peratusan 0.05% adalah had paras alkohol untuk menyebabkan seseorang itu disabitkan kesalahan memandu secara mabuk di Korea Selatan.

Membayar lebih RM70,592.24 sebagai ganti kerugian kotak elektrik yang musnah, tidak termasuk pampasan kerugian terhadap setiap 30 pemilik perniagaan yang terjejas, ‘Bloodhounds’ merupakan penampilan pertama Kim Sae Ron selepas kontroversi ini. Beliau banyak menarik diri dan dibuang daripada projek-projek selepas kejadian tersebut.

Sudah berlakon sejak kecil dan berada dalam industri hampir 20 tahun, pelakon berusia 23 tahun (2023) itu telah di-cancel-kan netizen Korea Selatan sehingga terpaksa bekerja part-time di sebuah kafe kerana kesukaran hidup selepas semua wang simpanannya terpaksa dikeluarkan untuk membayar pampasan. 

Berikutan penampilannya dalam ‘Bloodhounds’, Netflix pada awalnya mengumumkan yang Kim Sae Ron tidak lagi turut serta dalam projek itu. Namun mereka kemudiannya mengubah kenyataan kerana hampir kesemua babak lakonannya sudah menjalani penggambaran. Jadi, solusinya, Netflix hanya meninggalkan babak minimum Kim Sae Ron supaya penonton memahami jalan cerita tersebut.