Harta sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat yang ditentukan hukum syarak.
Baru-baru ini seorang peguam syarie berkongsi kisah seorang wanita yang terkejut bekas suaminya menuntut rumah RM1.3 juta miliknya. Daripada kisah ini, kita yang bakal bergelar isteri, masih berstatus isteri atau sudah menjadi bekas isteri akan belajar sesuatu.
Hidup bersama lebih kurang 7 tahun kemudian berpisah kerana bekas suami yang telah dibuang kerja tidak pernah berusaha untuk mencari kerja lain selama lebih kurang setahun lebih.
Makan minum dan keperluan isi rumah termasuk keperluan 3 orang anaknya terpaksa ditanggung sendiri. Kemudian, atas persetujuan bersama mereka bercerai dan anak-anak berada di bawah tanggungannya.
Selama 3 tahun bekas suami pulang ke kampung halaman, tidak pernah ambil tahu tentang nafkah anak-anak apatah lagi nafkah eddah. Namun wanita ini tidak kisah kerana pendapatannya sebulan lebih daripada cukup untuk mereka berempat.
3 tahun bercerai tanpa berita, tiba-tiba dapat surat tuntutan harta sepencarian daripada bekas suami yang mana harta tuntutan adalah kereta Audi miliknya dan rumah yang didiami sekarang bernilai lebih kurang RM1.3 juta.
Sedangkan menurut wanita ini, bekas suaminya tidak pernah keluarkan satu sen pun untuk bayar bulanan rumah tersebut. Jadi bagaimana?
Menurut peguam syarie, Fahmi Ramli, ada beberapa soalan yang sering diajukan.
Adakah boleh bekas suami tuntut rumah yang bekas isteri beli sebelum mereka kahwin?
Harta yang dibeli sebelum mereka kahwin, tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Ini kerana harta sepencarian adalah harta yang dibeli bersama atau salah seorang suami atau isteri dalam tempoh perkahwinan.
Mengikut seksyen 122 (5) Enakmen Keluarga Islam Pulau Pinang, untuk jadikan rumah itu sebagai harta sepencarian, bekas suami mesti kena ada faktor ‘memajukan’ rumah tersebut.
Maksudnya, bekas suami ada keluarkan wangnya untuk renovate rumah contohnya. Barulah boleh dikatakan rumah itu harta sepencarian.
Kalau bekas suami ada bayar juga bulanan kepada bekas isteri untuk rumah tersebut, adakah boleh dikira memajukan?
Tidak boleh. Memajukan itu pada tafsiran undang-undang adalah melibatkan kepada usaha besar untuk kemajuan rumah tersebut. Misalnya, dapur diperbesarkan atau ditambah bilik atau mungkin ‘extend’ garaj kereta.
Jika bekas suami ada membayar bulanan rumah tersebut, dalam keadaan mereka sekeluarga menetap disitu, ia boleh dianggap sebagai Nafkah Tempat Tinggal yang menjadi kewajipan kepada si suami.
Boleh ke bekas suami tuntut harta yang isteri sendiri beli dalam tempoh kahwin?
Nak tuntut boleh. Siapa jua yang ada kaitan dengan kes harta sepencarian, boleh buat tuntutan. TAPI belum tentu boleh dapat. Ini kerana, bagi lelaki atau suami, mereka perlu ada sumbangan langsung atau bahasa mudahnya, mengeluarkan wang untuk pembelian harta tersebut.
Jadi, kalau bekas suami tak ada sumbangan wang ringgit untuk pembelian rumah tersebut, sangat sukar untuknya mendapatkan perintah Harta Sepencarian. Berbeza dengan bekas isteri, kalau isteri tak keluarkan duit pun, masih layak untuk dapat harta sepencarian atas faktor sumbangan tak langsung seperti memasak, mengemas rumah, membasuh baju suami dan macam-macam lagi.
Kesimpulannya
Kalau ada bekas isteri yang terkejut atau takut bekas suami nak tuntut harta sepencarian bagi rumah yang dia sendiri beli sebelum kahwin lagi, berikanlah jawapan yang profesional. ‘Ok see you in court’.
Nak halang tuntutan tak boleh. Siapa pun berhak tuntut, cuma kena ingat, dapat belum tentu.
Sumber: Fahmi Ramli
Kredit gambar utama: Maria Ziegler via unsplash.com