Beg fungsinya untuk menyimpan barangan dan memudahkan seseorang itu untuk bergerak melakukan aktiviti hariannya. Ya, selain daripada sebagai pelengkap gaya.

Tapi, apa yang jadi kalau saiz beg jauh lagi kecil sehingga hilang fungsinya sebagai beg?

Sebelum ini, beg tangan paling kecil yang boleh dijumpai adalah daripada jenama Perancis Jacquemus, yang mana ia mungkin hanya muat disangkut pada jari sahaja. Biarpun kecil, beg mini yang digelar sebagai Le Chiquito ini berjaya dijual dengan harga $2,000 tau.

Yang terbaru ini, beg mini dengan saiz lebih kecil daripada garam pula dihasilkan. Dihasilkan dengan menggunakan proses stereolitografik, beg dengan warna neon ini boleh dikatakan sebagai barangan rare dan merupakan salah satu daripada koleksi seni MSCHF.

Biarpun kecil daripada garam, jangan ingat harganya jauh lebih murah daripada harga sepaket garam ya. Untuk pengetahuan korang, beg ini berjaya dijual dengan harga $63,750 dalam satu lelongan.

Nilai ini kalau ditukarkan dengan nilai Ringgit sekarang, boleh mencecah sehingga RM300,000! Fuh, berpeluh kan dengar. Makin kecil makin mahal pula.

Disebabkan saiznya yang kecil (657x222x700) mikrometer dan boleh dilihat menggunakan mikroskop, beg ini dinamakan sebagai Microscopic Handbag. Dan pembeli akan diberikan mikroskop untuk memudahkan beg ini dilihat.

Tapi satu yang kena clarify berkenaan beg ini. Menurut Pegawai Kreatif MSCHF, Kevin Wiesner, walaupun ada lambang Louis Vuitton padanya tetapi kolektif ini tak dapat kebenaran untuk gunakan reka bentuk jenama tersebut.

Kalau nak tahu, MSCHF sebelum ini pernah terpalit dengan kontroversi apabila mengeluarkan ‘Satan Shoes’ memaparkan simbol syaitan pada rekaan kasut dan mendakwa menampilkan titis darah manusia pada bahagian tengahnya.

Kredit imej: MSCHF