Terinspirasi dengan Greta Thunberg? Ini peluang anak-anak kita menyumbang idea dan kreativiti untuk masa depan yang lebih lestari.
Mommies! Nak lentur buluh biarlah dari rebungnya kan. Haaa boleh la usulkan kat anak2 join Little Eco-Heroes Awards anjuran IPCxAlliance Bank ni. Kitar semula & menang! Mana tau ada yg ikut jejak langkah Greta Thunberg pasni.
IPC Shopping Centre dengan kerjasama rakan supernya, Alliance Bank telah menandatangani memorandum persetujuan (MoA) bagi melancarkan Anugerah Wira Kecil Alam Sekitar IPC (Little Eco-Heroes Awards). Inisiatif ini terbuka kepada pelajar berusia 7 hingga 17 tahun, dengan matlamat untuk menyemarakkan kreativiti minda golongan muda, menggalakkan mereka untuk mencipta penyelesaian berinovasi dan mesra alam bagi menyelesaikan isu alam sekitar menggunakan bahan kitar semula dan boleh kitar semula.
Little Eco-Heroes Awards yang akan berlangsung hingga 3 Mac 2024 bakal mengembangkan lagi komitmen ini dengan mencabar para pelajar membina sama ada prototaip berfungsi atau model prototaip yang bertujuan untuk menangani isu-isu berkaitan dengan sisa menggunakan bahan boleh kitar semula yang sama diterima di RBBC.
Pengurus Besar IPC Shopping Centre, Karyn Lim berkata, “Kami sentiasa komited terhadap kemampanan dan usaha mengurangkan impak kami ke atas alam sekitar. Menerusi Anugerah Wira Kecil Alam Sekitar IPC ini, kami ingin menyediakan platform untuk generasi masa depan kita mempamerkan kreativiti dan idea hijau mereka.”
Ketua Pegawai Strategi, Pemasaran & Pembangunan Perniagaan Kumpulan Alliance Bank, Dr Aaron Sum menambah, “Sebagai lanjutan kepada kerjasama kami dengan IPC Shopping Centre dalam kempen ‘Gavå with Your Recyclables’ sebelum ini, kami gembira kerana dapat mengukuhkan lagi kerjasama dengan IPC Shopping Centre bagi menjayakan Anugerah Wira Kecil Alam Sekitar ini. Kerjasama ini juga selaras dengan slogan jenama kami ‘The Bank for Life’ dan usaha kami dalam menjayakan inisiatif ESG, yang berteraskan kepada usaha menyokong pelanggan kami pada setiap langkah perjalanan kehidupan mereka.”
Untuk mengambil bahagian dalam Anugerah Wira Kecil Alam Sekitar ini, para pelajar perlu terlebih dahulu membentuk sebuah kumpulan yang terdiri daripada 3 hingga 5 orang ahli, mengikut kategori usia mereka, iaitu 7 hingga 12 tahun dan 13 hingga 17 tahun. Seterusnya, mereka dikehendaki menghantar sebuah video pembentangan tidak lebih daripada 5 minit. Video tersebut patut merangkumi pengenalan dan inspirasi ciptaan mereka serta penerangan tentang bagaimana bahan kitar semula digunakan dalam proses ciptaan mereka. 20 pasukan finalis terbaik kemudiannya diberi peluang untuk membangunkan dan mempamerkan prototaip serta papan poster mereka di IPC Shopping Centre bermula dari 17 Februari hingga 2 Mac 2024 untuk sesi undian awam melalui laman Facebook rasmi IPC Shopping Centre sebagai sebahagian daripada proses penghakiman.
20 pasukan finalis terbaik itu akan dijemput kembali ke IPC menghadiri Peringkat Akhir Anugerah Wira Kecil Alam Sekitar pada 3 Mac 2024 di mana setiap pasukan akan diberikan masa 10 minit untuk membuat pembentangan secara langsung dan sesi soal jawab dengan panel hakim di Ruang Legar, Aras G IPC Shopping Centre.
Anugerah Wira Kecil Alam Sekitar IPC akan menampilkan beberapa kategori anugerah, setiap satu meraikan aspek inovasi alam sekitar muda yang berbeza:
- Paling Kreatif: Si kecil berwawasan yang bergemerlapan dengan imaginasi.
- Paling Praktikal: Si kecil genius penyelesai masalah.
- Paling Inovatif: Si kecil pintar dengan idea ciptaan yang hebat.
- Paling Estetik: Artis kecil dengan idea yang dapat mewarnai dunia dengan kehidupan.
- Paling Mampan: Si kecil penyayang yang mencipta dengan rasa kasih kepada bumi.
Sempena dengan Anugerah Wira Kecil Alam Sekitar IPC, pusat beli-belah itu turut menjemput ahli Små Club untuk menyertai aktiviti mingguan di sepanjang November ini yang menyasarkan untuk merangsang minda generasi muda agar mereka dapat mengamalkan corak pemikiran mampan berinovasi.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Anugerah Wira Kecil Alam Sekitar IPC, sila layari ipc.com.my/littleheroes.