Wanita, apatah lagi seorang ibu, lebih cenderung untuk meletakkan keperluan orang lain melebihi keperluan sendiri. Dalam minda kita, pemeriksaan kesihatan jatuh nombor 2.  Lagipun, ia bukanlah satu idea yang menyeronokkan! 

Namun begitu, pemikiran begini boleh memudaratkan kesihatan kita untuk jangka panjang.

Menurut Dr Muralitharan Ganesalingam yang merupakan Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) dan Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi di IMU Healthcare, matlamat ujian saringan adalah untuk mengesan perubahan dalam badan sebelum ia menjadi tidak terurus. Dengan cara ini, kita berpeluang mengubah suai gaya hidup dan mengelak penyakit tertentu

Secara ringkasnya, ini bermakna anda perlu menjalani pemeriksaan kesihatan semasa kita sihat!

Dr Murali menasihati supaya pemeriksaan tahunan dilakukan sejurus mencapai usia dewasa, contohnya apabila kita mula bekerja, dan dua kali setahun selepas berumur 45 tahun.

Dr Muralitharan Ganesalingam

Ujian saringan yang manakah harus diutamakan?

Pemeriksaan kesihatan tahunan untuk semua orang dewasa yang sihat harus bermula dengan:

Tekanan darah untuk memeriksa hipertensi. Penyakit yang dikenali sebagai pembunuh senyap ini berkembang tanpa gejala yang ketara dan menjejaskan tiga daripada 10 rakyat Malaysia, iaitu kira-kira 6.4 juta orang serta meningkatkan risiko strok dan serangan jantung.

Kiraan darah untuk mengesan penyakit seperti anemia. Secara purata, anemia menjejaskan tiga daripada 10 orang wanita berumur 15-49 tahun dan boleh menyebabkan komplikasi semasa hamil seperti keguguran dan kelahiran pramatang.

● Ujian glukosa darah untuk memeriksa diabetes. Kira-kira satu daripada lima orang dewasa menghidap diabetes, bersamaan dengan 3.9 juta orang dewasa.

Indeks Jisim Badan (BMI) untuk memantau kenaikan berat badan dan membantu mencegah obesiti. Statistik kebangsaan menunjukkan bahawa satu daripada dua orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan atau obes, manakala seorang daripada dua orang mempunyai obesiti perut, di mana wanita masing-masing menyumbang 54.7% dan 64.8%.

Ujian lipid untuk memeriksa peningkatan paras kolesterol yang boleh menyebabkan penyakit jantung. Sekitar empat daripada 10 rakyat Malaysia, iaitu kira-kira 8 juta orang mengalami tahap kolesterol yang tinggi. Wanita lebih berkemungkinan mempunyai tahap lebih tinggi berbanding lelaki. Walaupun begitu, seorang daripada 4 orang tidak menyedari yang mereka mempunyai kolesterol tinggi.

Fungsi buah pinggang dan profil hati kerana penyakit buah pinggang kronik menjejaskan seorang daripada tujuh orang rakyat Malaysia, dan diabetes merupakan faktor risiko yang ketara.

Beberapa ujian saringan amat penting untuk wanita, iaitu ‘pap smear’ untuk memeriksa kanser serviks, pemeriksaan payudara untuk mengesan kanser payudara dan imbasan kepadatan mineral tulang untuk mengesan osteoporosis.

Jika kita berisiko tinggi, terdapat sejarah keluarga berpenyakit kritikal/masalah kesihatan dan faktor gaya hidup kurang sihat,kita mungkin  memerlukan pemeriksaan yang lebih kerap.  

Apa yang penting adalah untuk kita berkomunikasi dengan doktor mengenai sebarang kebimbangan kesihatan dan membincangkan sama ada pemeriksaan kesihatan boleh memberi manfaat berdasarkan usia, gaya hidup dan sejarah keluarga.