Kalau memang belum rezeki kita, payah macammanapun kena terima
Takde berita lebih gembira untuk wanita yang dah berkahwin selain daripada disahkan hamil. Aku pun sama juga. Lebih- lebih lagi aku dan suami dah lama tunggu untuk menimang cahaya mata. Pertama kali check aku buat kat rumah. Masa tu period dah lambat 2 minggu. Tapi aku tak harap sangat pasal sebelum ni pun pernah keadaan yang sama berlaku. Masuk minggu ke 3 lambat, period pun sampai. False alarm…
Tapi kali ni berbeza, bila stick URT tunjuk 2 line aku macam tak percaya. Happy sangat sampai terjerit-jerit aku dalam toilet. Bila tunjuk kat En. Suami, dia punya senyum…sampai telinga. Happy sangat. Malam tu jugak kitorang bagi tau family terdekat.
Aktiviti aku lepas disahkan mengandung sama je. Pagi bangun kemas rumah lepastu pergi kerja. Balik kerja, masak dan kemudian relaks ngan En. Suami. Tak de rutin luarbiasa yang aku buat. Check up dengan doktor pun sebulan sekali pasal kandungan masih awal. Dan setiap pagi sarapan aku ialah pil asid folic. ? Arahan doktor.
Pergerakan aku pun macam biasa, takdelah aktif sangat sebab mak aku pesan untuk kurangkan sikit aktiviti fizikal. Maklumlah aku ni baru je mengandung. Aku ikut semua nasihat yang orang bagi, lagi pun kebanyakkannya tak de mudarat pun. Semua yang baik-baik.
Bila kandungan aku masuk 3 bulan, En. Suami tegur aku. Dia tanya kenapa perut aku tak besar-besar. Aku pun tak tahu nak jawab apa. Tapi aku bagitau, since minggu depan ada appt dengan doktor, nanti aku tanya.
Episod sedih aku tu mula bila aku nampak spotting masa pergi toilet kat ofis. Warna cokelat je bukan merah. Tapi aku rasa tak sedap hati. Aku terus pergi hospital, pasal doktor pun ada pesan, kalau ada spotting atau pendarahan tak payah tunggu.
Tengahari tu aku kat Hospital Selayang bahagian kecemasan. Tak tunggu pun En. Suami. Aku pergi sendiri. Masa tu jantung dah dup dap dup dap. Takut dan risau.
Bila doktor check dan buat scan, aku dah agak something yang tak elok. Muka doktor masa buat scan tu semacam je. Lembut je doktor tu bagitau aku yang fetus (pasal baby aku kecil lagi) dah takde. Body aku terminate pregnancy! So, baby tak membesar atau ada peluang untuk hidup. Kegembiraan dan harapan yang aku bawak dengan aku selama 3 bulan ni hancur macam tu je.
Sedihnya Tuhan je yang tahu. Airmata ni gugur tak berhenti….masa En. Suami sampai untuk teman aku dia pun menangis sekali. Masa tu aku terbayang baju kecik yang aku gantung dalam almari…takde rezeki baby nak pakai baju tu. ☹
Doktor bagi aku balik dan tetapkan appt untuk D&C seminggu lepas tu. Dia kata kalau janin gugur secara natural lebih baik dari kena cuci rahim.
Dua hari lepas terima berita sedih tu aku alami sakit perut yang teruk. Nak bangun pun susah. Tapi sakit tu datang dan pergi plus ada rasa nak meneran. Faham lah aku masa tu aku tengah alami kontraksi macam perempuan nak bersalin.
Susah aku nak gambarkan sakitnya. Semua sakit. Yang aku ingat sekali tu aku rasa nak buang air besar, so gigih la aku mintak tolong En. Suami papah ke toilet. Masa tu lah aku rasa nak meneran sangat. Ya Allah, bayangkanlah, aku sebenarnya tengah meneran untuk bersalin.
Bila satu ketulan darah dan daging sebesar penumbuk budak lima tahun keluar, semua sakit aku hilang. Masa tu air mata aku gugur lagi. Aku letak baby aku atas tuala dan bersihkan diri. Lepas tu baru aku panggil En. Suami. Bergenang airmata dia tengok baby yang dia tunggu selama ni dah tak de.
Lepas tu kitorang terus pergi hospital. Doktor sahkan aku mengalami complete abortion at 12 weeks. So 12 minggu je baby ada dengan aku. Allah dah ambik balik anugerah dia pada aku dan En. Suami. Mungkin belum rezeki aku.
Mungkin Allah punya percaturan kehidupan yang lebih baik, namun aku bersyukur kerana, ada permata yang aku panggil Iman menanti aku di syurga nanti.