Biasa kalau cakap pasal kanser paru-paru, soalan yang pertama ditanya mesti, merokok ker? Ini adalah stigma sosial yg dihadapi masyarakat terutamanya wanita. Tapi, korang tahu tak, tak hisap rokok pun masih berisiko. Lebih 2.2 juta kes kanser paru-paru telah dilaporkan pada tahun 2020 di seluruh dunia, dan lebih 770,000 daripadanya adalah wanita. 

Dengan peningkatan mencecah 79 peratus dalam beberapa dekad yang lalu, kanser paru-paru kini menjadi antara tiga jenis kanser teratas yang menyerang populasi wanita di seluruh dunia, selepas kanser payudara dan kanser kolorektal.

Roche (Malaysia) dengan kerjasama Lung Cancer Network Malaysia (LCNM) telah menganjurkan sesi perbincangan, ‘A Breath of Fresh Hope’ dengan fokus kepada kes kanser paru-paru yang semakin membimbangkan dalam kalangan wanita Malaysia yang tidak merokok, Ini juga bertujuan untuk menangani stigma sosial mengenai kanser paru-paru!

Dikendalikan oleh Deepti Saraf, Pengurus Besar Roche Malaysia, panel perbincangan tersebut terdiri daripada Dr. Anand Sachithanandan, Pakar Perunding Pembedahan Kardiotoraks dan Pengasas Bersama LCNM; Dr. Jennifer Leong, Pakar Perunding Onkologi Klinikal dan Profesor Madya Dr. Caryn Mei Hsien Chan, Pakar Perunding Psikologi Kesihatan.

Ketiga-tiga pakar menekankan keperluan untuk meningkatkan akses kepada alatan diagnostik dan rawatan terapeutik bagi pesakit wanita yang sedang berjuang melawan kanser paru-paru. Ini kerana, pesakit wanita sering diabaikan tanpa disedari walaupun mereka merupakan penyumbang sebahagian besar jumlah kes negara.

Menurut Dr. Anand, walaupun jumlah perokok di kalangan wanita di Malaysia kurang daripada 2%, tetapi kanser paru-paru ialah kanser keempat yang paling kerap menyerang wanita. Tahap kesedaran yang rendah jugamenjadi penyumbang kepada peningkatan risiko kanser ini kepada golongan wanita. 

Selain daripada tabiat merokok, punca lain termasuk terdedah kepada asap rokok, pencemaran udara yang teruk, bahan kimia seperti asbestos dan gas radon dan sejarah keluarga. Tambahan beliau, jika ianya dikesan dengan lebih awal, penyakit tersebut boleh dirawat dengan lebih berkesan. 

Ramai wanita beranggapan bahawa memandangkan mereka tidak merokok, mereka tidak berisiko untuk mendapat kanser paru-paru. Ini adalah tanggapan salah dan berbahaya. Ada kalanya, simptom-simptom tipikal sering diabaikan, menyebabkan pesakit tidak mendapat rawatan perubatan yang diperlukan pada peringkat awal kanser dan menjejaskan peluang untuk pulih.

Sementara itu, Prof. Caryn menekankan kepentingan kesihatan mental yang ditanggung oleh pesakit kanser. Ramai di antara mereka tidak pernah cuba untuk mendapatkan bantuan profesional bagi menghadapi kesedihan, dan kesannya boleh memburukkan lagi kesihatan fizikal mereka yang sememangnya sudah merosot. Beliau turut menambah dengan memberikan sebab mengapa kesedihan yang melampau dan sifat positif yang keterlaluan boleh membahayakan pesakit dan memberi kesan kepada kesejahteraan keluarga mereka.

Kesedaran yang meluas mengenai punca risiko kanser, dan mengambil tindakan seperti pemeriksaan kesihatan berkala adalah penting untuk mengubah landskap kanser paru-paru di Malaysia. Selain itu, infrastruktur penjagaan onkologi perlu diperkukuhkan, begitu juga dengan akses kepada rawatan terapeutik untuk pesakit wanita, tanpa mengira status sosio-ekonomi mereka.