Beberapa minggu lalu, hangat diperkatakan tentang berita perkahwinan bekas jurulatih bola sepak terkenal yang berkahwin dengan seorang artis. Dikatakan keduanya berkahwin tanpa pengetahuan isteri pertama jurulatih tersebut.

Kemudian disusuli dengan berita pergaduhan antara isteri pertama dan isteri kedua selepas didakwa tersindir dengan kenyataan isteri kedua dalam satu kenyataan di sebuah program realiti baru-baru ini.

Sebagai tanda sokongan kepada ibu mereka, anak-anak daripada perkahwinan pertama tampil di media sosial seolah memberi bayangan tentang kekecewaan mereka terhadap perlakuan bapa mereka.

Namun, perbuatan menyindir bapa secara terbuka ini tidak dipersetujui pendakwah, Firdaus Wong Wai Hun yang tampil memberikan pandangan dan nasihatnya mengenai isu ini.

“Apa yang berlaku, anak-anak boleh tidak bersetuju dengan tindakan seorang ayah tetapi ajaran Islam manakah yang membenarkan anak-anak menyindir ayah mereka secara terbuka?

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

(Al-Israa’ 17:23)”

Facebook: Firdaus Wong Wai Hung