Puisi lazimnya dianggap sebagai karya yang sukar difahami, bersifat tradisional dan khusus untuk golongan elit intelektual. Persepsi ini menjauhkan golongan pemuisi muda yang baru muncul dan ingin berkongsi karya mereka secara terbuka.

Memilih untuk menantang kelaziman, Adriana Ghafar, nama yang sedang meniti popularity sebagai naib juara pencarian Dewi Remaja 2019 melancarkan koleksi puisi sulungnya: “Everything In Between”. 

Kemunculan Adriana dalam dunia sastera merupakan manifestasi visinya untuk mendemokrasikan dan menjadikan puisi sebagai karya yang bersifat lebih inklusif serta dekat dengan semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia, latar belakang atau tahap pendidikan.  

Diinspirasikan oleh pemuisi-pemuisi kontemporari, Adriana berhasrat untuk mempopularkan puisi dan membebaskannya daripada ruang bilik darjah dan golongan elit. 

Karya ini digarap bagi menginspirasikan pembacanya untuk memanfaatkan puisi sebagai platform untuk bersuara. Menerapkan elemen moden, ia mengandungi unsur-unsur interaktif seperti animasi buku selak (flipbook animation) dan realiti terimbuh (augmented reality) bagi menyuntik nafas baru kepada bentuk karya malar segar ini sekali gus mewujudkan pengalaman membaca puisi yang menarik.

“Everything In Between”, sebuah gabungan puisi bahasa Melayu dan Inggeris, menyelitkan tema sejagat cinta, keluarga, penolakan, dan kecekalan. Karya ini mengandungi mesej khusus untuk golongan wanita dan anak muda yang mencari ketenangan jiwa, inspirasi, dan kekuatan dalam mendepani cabaran hidup. Sebagai pejuang tegar hak-hak wanita, puisi-puisi Adriana juga mengangkat tema kesaksamaan gender dan pendayaupayaan wanita. 

““Everything In Between” ialah projek yang dekat di hati saya dan ia cerminan intim kepada perjalanan hidup saya yang disampaikan menerusi puisi-puisi yang dihasilkan dalam tempoh 12 tahun. Saya berhasrat untuk memotivasikan dan memperkasa orang lain agar terus kental dalam mengharungi cabaran hidup. Di samping itu, saya berharap agar buku ini menyalakan semangat dalam kalangan generasi lebih muda dan golongan yang terpinggir untuk menjadikan puisi sebagai platform penzahiran diri, menjuarai isu-isu yang dekat di hati mereka dan menginspirasi perubahan yang bermakna,” kata Adriana. 

Mula menulis puisi sejak berada di bangku sekolah, Adriana mendapat inspirasi daripada penulis-penulis ternama dunia seperti Maya Angelou, Sharon Olds, dan Emily Dickinson, serta penulis-penulis terkemuka negara seperti A. Samad Said, Khadijah Hashim, dan Bernice Chauly. 

Istimewa sempena pelancaran ini, “Everything In Between” akan ditawarkan dengan tiga pilihan kulit buku edisi terhad, yang ditandatangani Adriana sendiri. Koleksi puisi sulungnya ini dijual pada harga RM48 dan pra-tempahan boleh dibuat menerusi laman web rasmi adthebuku.com tidak lama lagi.