Sentiasa amalkan gaya hidup sihat dan pastikan anda waspada dengan sebarang kelainan pada payudara. 

Kanser adalah penyakit yang memilih jantina sama ada wanita atau lelaki. Tidak ada siapa yang sedar akan kewujudan dia sehingga kau mula sakit teruk dan memerlukan rawatan di hospital.

Aku adalah salah seorang kanser survivor. Masa mula-mula aku didiagnos menghidap kanser, hati tidak berhenti meronta kerana tidak percaya perkara sebegini boleh berlaku. Lagi-lagi aku didagnos dengan kanser payudara tahap empat. Bagaimana mungkin aku terpaksa melawan kanser yang sinonim dengan kaum wanita. Tidak pernah terfikir pun bahawa aku, seorang lelaki, boleh menghidap kanser payudara. Dalam kepala aku cuma terfikir satu perkara sahaja, MATI!

Aku tidak pernah menyangka bahawa ketulan yang dirasai di bahagian payudara adalah petanda awal menghidap kanser. Aku ingat ketulan itu hanyalah ketulan bisul. Dua tahun aku abaikan sehingga ketulan itu membesar daripada saiz duit lima sen kepada lima puluh sen.

Akibat daripada kesakitan yang sangat perit walaupun hanya bergesal pada baju aku membuat keputusan untuk ke klinik. Doktor meminta agar aku membuat pembedahan kecil kerana kawasan puting payudara aku mula membengkak. Pembedahan itu dijalankan untuk membuang benjolan dan mengurangkan kesakitan manakala sampel tisu diambil untuk diagnosis.

Perkara yang paling susah untuk aku tempuh ialah dengan berterus-terang pada anak sulung aku yang ketika itu baru berusia 19 tahun. Masa itu apa yang dia tau hanyalah aku menghidap penyakit berbahaya yang sukar disembuhkan. Pakar yang merawat aku ada memberi cadangan untuk membuat pembedahan pembuangan sebelah payudara aku bagi mengelakkan sel kanser terus merebak.

Pada masa itu aku sudah redha dengan apa yang akan terjadi maka aku membuat keputusan untuk membuang sebelah payudara aku. Selepas pembedahan, kesan sampingan rawatan yang aku jalani membuatkan dunia terasa berbeza. Aku menjalani rawatan kemoterapi setiap dua minggu untuk jangkam masa enam bulan selain rawatan radioterapi 14 kali selepas tiga bulan sembuh daripada pembedahan. 

Walaupun kesihatan aku beransur pulih, namun berat badan aku meningkat sehingga 100 kilogram. Keadaan badan aku yang lemah juga tidak memungkinkan aku untuk aktif cepat letih dan lesu. Maka aku tekad untuk mengubah gaya hidup aku telah mengambil jurulatih peribadi di pusat kecergasan untuk mulakan rutin senaman. 

Semenjak aku bergiat aktif dalam senaman dan menjaga pengambilan makanan aku, aku berjaya mendapatkan berat badan ideal. Aku mula melibatkan diri dengan aktiviti luar seperti mendaki. Aku bersyukur sepanjang tempoh rawatan, arwah isteri dan keluarga banyak memberi sokongan tidak berbelah bagi dari segi emosi. 

“Hargai waktu yang ada bersama orang tersayang kerana ajal sungguh dekat dengan kita. Pengalaman sebagai pejuang kanser memberi kesedaran kepada aku untuk memanfaatkan peluang kedua dalam hidup untuk lebih menghargai orang di sekeliling aku.“Sentiasa amalkan gaya hidup sihat dan pastikan anda agar waspada dengan sebarang kelainan pada payudara, jalani pemeriksaan segera dan dapatkan rawatan sewajarnya. Tak kira lelaki atau wanita.”