Kanser servik/pangkal rahim adalah yang keempat yang paling kerap dikesan dalam kalangan wanita dan yang kedua paling sering menyerang wanita berumur 44 tahun ke bawah dengan 12.9%.  Menurut laporan Daftar Kanser Kebangsaan tahun 2011-2016, kanser rahim dalam kalangan wanita meningkat daripada 3.8% antara 2007-2010 kepada 4.6% antara 2011-2016 . Lebih membimbangkan bila nombor ini terus meningkat seiring dengan bertambahnya kadar obesiti.

Antara nasihat paling utama yang boleh diikuti oleh wanita adalah untuk selalu cakna dengan keadaan kesihatan masing-masing. Melakukan pengesanan awal dan pemeriksaan berkala adalah kunci pada rawatan, sekiranya perlu, untuk berjaya. 

Dr Thangesweran Ayakannu, Pakar Perunding Onkologi Ginekologi dan Pakar Bedah Robotik, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, berkata, 

“Sebagai penjagaan kesihatan profesional kami telah menyaksikan peningkatan kanser rahim. Ini mungkin disebabkan terutamanya oleh ketidakseimbangan hormon akibat obesiti. Ketidakseimbangan ini adalah antara faktor penyumbang kanser yang menjejaskan organ seperti rahim, payudara, dan ovari.”

Dr Thangesweran Ayakannu, Pakar Perunding Onkologi Ginekologi dan Pakar Bedah Robotik, Pusat Perubatan Sunway.

Dr Thangesweran Ayakannu menambah, “Virus HPV ialahjangkitan meluas yang menjejaskan hampir semua orang, lelaki dan wanita adalah punca utama kanser serviks/ pangkal rahim. Antara tindakan pencegahan yang paling umum adalah vaksinasi untuk virus HPV, yang dapat mengurangkan risikonya dengan ketara dengan menjadikan jenis virus yang paling berbahaya sebagai sasaran. Namun, vaksin HPV tidak boleh dianggap pengganti ujian “pap smear” sebagai kaedah saringan kanser ginekologi yang terbukti berkesan.”

Rawatan Kesuburan dan Risiko Kanser

Bercakap tentang kebimbangan mengenai peningkatan risiko kanser pada wanita yang sedang atau telah menjalani rawatan kesuburan Dr Thangesweran Ayakannu menegaskan bahawa ubat kesuburan, terutamanya yang membantu merangsangkan ovari, menimbulkan risiko, lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan dengan kerap. Namun, ia amat penting bahawa wanita yang telah menjalani rawatan kesuburan untuk memantau tisu ovari mereka dengan teliti melalui ujian ultrasound, dan ujian darah, terutamanya selepas kitaran rawatan IVF atau kesuburan yang kuat dan kerap.”

Tambahnya, “Ketidaksuburan didapati menjadi salah satu faktor risiko penting untuk kanser ovari. Namun, hubungan antara ubat kemandulan dan kanser ovari perlu ditangani dengan mengambil kira faktor-faktor lain seperti umur, indeks jisim badan, pariti, faktor genetik (iaitu sejarah keluarga untuk kanser ovari), dan etiologi ketidaksuburan, bersama dengan tempoh pemantauan yang lebih panjang.”

Kepentingan Pemeriksaan Kanser

Dr Thangesweran Ayakannu juga menekankan betapa pentingnya pemeriksaan awal kanser untuk wanita Malaysia. Katanya, “Pengesanan awal sangat penting dalam memerangi kanser serviks/ pangkal rahim. Pemeriksaan yang kerap memperkasakan wanita untuk mengendalikan kesihatan mereka, membolehkan kami mengenal pasti potensi masalah sejak dari peringkat awal lagi.”

Mengetahui Risiko Anda dan Pentingnya Mengelola Kesihatan dan Kesejahteraan Ginekologi Anda

Dr Thangesweran Ayakannu berkongsi pandangan yang berharga, menguraikan langkah penting untuk wanita mengurus kesejahteraan mereka secara proaktif. Ini termasuk:

• Kenali Tubuh Anda, Hancurkan Taboo: Memahami tubuh sendiri adalah langkah pertama ke arah pemerkasaan. Pantau kitaran haid anda, waspada dengan ketidakaturan, dan dapatkan bantuan awal kerana ia membantu. Jangan abaikan tanda-tanda ini.

• Komunikasi yang Jelas dan Pemeriksaan Pelvis Berkala: Apabila anda membuat pemeriksaan kesihatan, mustahak untuk memaklumkan sejarah perubatan anda semasa berjumpa doktor. Pemeriksaan pelvis secara berkala juga boleh membantu kesihatan ginekologi anda secara keseluruhan dan memberikan maklumat penting kepada profesional penjagaan kesihatan.

• Penilaian dan Pemeriksaan Risiko: Pemeriksaan risiko memberi panduan kepada profesional penjagaan kesihatan untuk menentukan ujian saringan yang betul. Rawatan terbaik terhasil ketika kita dapat mengesannya awal. Dr Thangesweran Ayakannu berkata pembedahan robotik, misalnya, mempunyai teknologi canggih yang boleh membantu. Kesannya awal; lebih awal anda mengesannya, semakin baik hasilnya.”

• Mengenali dan Menangani Gejala dan Faktor Risiko: Bagi wanita yang paling mengenali tubuhnya, penting untuk tidak mengabaikan gejala yang anda alami walaupun anda mungkin menganggapnya normal. Sebagai contoh, pendarahan selepas menopaus atau pendarahan pasca-menopaus bukanlah sesuatu yang biasa tetapi mungkin satu tanda amaran awal kanser endometrium. Dr Thangesweran Ayakannu menambah, “Keadaan lain seperti PCOS dan endometriosis mempengaruhi anda terkena kanser ginekologi. Awasi masalah jangka panjang ini, pantau haid anda dan jalani pemeriksaan berkala, termasuk imbasan ultrasound.”

Pengesanan awal bukan sekadar pilihan tetapi satu tanggungjawab bersama. Perubahan yang dimungkinkan dengan pengesanan awal, komunikasi yang terbuka, dan pemeriksaan secara rutin mampu membuka jalan untuk masa depan ketika kanser serviks/ pangkal rahim bukan sahaja boleh dirawat tetapi boleh dicegah.