Syarikat barangan pengguna global yang terkemuka, Procter & Gamble (P&G), bergabung tenaga dengan MYDIN bagi melancarkan kempen dana bantuan banjir musim tengkujuh. Kempen ‘Bersama Demi Semua’ ini bertujuan mengumpul dana untuk komuniti yang bergelut dengan kesan banjir pada musim tengkujuh setiap tahun di Malaysia.

Bermula 1 November, 2023 hingga 6 Januari, 2024, setiap pembelian produk P&G bernilai RM10 dari mana-mana pasaraya MYDIN, 5 sen akan disumbangkan kepada tabung ini. 

2022 menyaksikan Malaysia berdepan banjir paling teruk dalam sejarah, yang turut menjejaskan ribuan orang di seluruh negara. Langkah proaktif ini diambil sejajar dengan misi P&G untuk meningkatkan kualiti kehidupan pengguna dan komitmen MYDIN yang tidak berbelah bahagi terhadap kebajikan masyarakat.

Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira (Dr) Hj. Ameer Ali Mydin berkata, “Berikutan kejayaan kempen ‘Ourdin’ yang mendapat sambutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami berasa bangga dan teruja dapat memberi sokongan kepada kempen dana bantuan banjir ini. Ia juga satu penghormatan buat kami kerana dapat bersama-sama dengan syarikat berpengaruh antarabangsa seperti P&G. Perkongsian ini bukan sahaja mencerminkan nilai teras MYDIN iaitu khidmat masyarakat dan integriti tetapi juga mengukuhkan ikrar kami untuk terus menyumbang tanpa mengira batas usia dan kaum.”

Kerjasama seperti ini menekankan kepentingan penglibatan komuniti dan meletakkan asas untuk pembangunan mampan yang lebih memberi impak. Dengan bekerjasama, syarikat korporat boleh meluaskan keberkesanan bantuan mereka serta menjamin ianya dapat dinikmati oleh golongan tumpuan dengan segera dan berkesan.

“Kerjasama murni bersama MYDIN ini menjadi bukti iltizam kami untuk menyumbang kepada komuniti. Kami menyeru pengguna untuk menyokong usaha yang mulia ini. Setiap pembelian melambangkan langkah ke arah mengurangkan kesusahan mereka yang memerlukan. Bersama-sama, mari kita menempa masa depan yang lebih cerah,” ujar Nantha Kumaran Kalimuthu, Pengurus Serantau, P&G Malaysia dan Singapura.